Tingkatkan kewaspadaan ketika hujan, banjir

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang terjejas dan dilanda banjir dinasihatkan mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindarkan sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan berlakunya penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan dan air seperti kolera, cirit- birit, keracunan makanan dan penyakit-penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan sebagainya.

Nasihat tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini berikutan kejadian hujan lebat dan banjir di sebahagian kawasan pada masa ini.

Kementerian Kesihatan telah menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil semasa dan selepas berlakunya banjir termasuklah memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar, memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol, memasak semua makanan dengan sempurna, mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih dan sabun selepas menggunakan tandas.

Selain itu orang ramai juga dinasihatkan agar menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan dan tidak membuang sampah merata-rata, serta memastikan saliran air supaya tidak tersumbat oleh sampah sarap, lumpur dan dahan- dahan pokok serta mendapatkan rawatan jika mengalami penyakit seperti demam panas, sakit perut, cirit-birit, muntah dan lain-lain.

Sementara itu orang ramai hendaklah mengutamakan keselamatan khususnya kanak-kanak agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti lemas, kecederaan serta jangkitan penyakit dan elakkan daripada menyentuh dawai elektrik yang jatuh berdekatan air banjir.

Bagi mereka yang mempunyai luka-luka dan penyakit kulit ataupun yang mempunyai masalah kesihatan kronik, terutama penyakit kencing manis disarankan agar seboleh-bolehnya untuk mengelakkan daripada terkena air banjir kerana air banjir yang kotor boleh menyebabkan jangkitan.

Walau bagaimanapun, jika mengalami kecederaan kecil yang terdedah kepada air banjir, adalah dinasihatkan supaya memastikan luka-luka tersebut dibersihkan dan mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang maklum balas, orang ramai boleh mengunjungi laman www.moh.gov.bn.

Gambar fail banjir kilat di Belait baru-baru ini. Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah-langkah berwaspada semasa kejadian hujan lebat dan banjir bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.