Oleh Nurdiyanah R.
Bak kata orang Brunei, ‘ubaya-ubaya’ atau dalam erti kata lain berhati-hati, begitulah sebaiknya perlu disemai dalam diri semua lapisan masyarakat ketika menggunakan apa sahaja peranti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, dalam kemeriahan kita meniti musim Hari Raya Aidilfitri, Cyber Security Brunei (CSB) turut mengingatkan orang awam di mana pun berada untuk terus mengamalkan budaya berwaspada ketika berlabuh di alam siber.
Antara jenis-jenis cabaran atas talian yang sering berlaku sepanjang bulan Syawal, ialah setiap tahun sebelum bermula bulan Ramadan atau Syawal, salah satu cabaran yang pasti terjadi adalah spekulasi mengenai pengumuman anak bulan. Secara umum, jika awda menerima mesej tular seperti ini, pastikan untuk menyemak sumber maklumat berikut adalah sahih. Dalam konteks bagi pengumuman begini, adalah lebih baik kita menunggu pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa.
Gunakanlah #latepost #throwback jika perlu
Cabaran seterusnya adalah perihal berkongsi butiran peribadi seperti nama ahli keluarga dan lokasi ketika berkunjung ke suatu tempat. Hakikatnya, apabila kita berkongsi butiran tersebut ia boleh membahayakan kita sendiri mahupun ahli keluarga.
Ini kerana apabila kita berkongsi lokasi pada masa yang sebenar, ia secara tidak langsung dapat memberi informasi kepada orang yang berniat jahat seperti pencuri bahawa rumah kita dalam keadaan kosong dan tiada berpenghuni. Maka adalah sebaiknya untuk menggunakan #latepost #throwback jika perlu memuatkan naik kandungan tersebut.
Jangan terus posting
Selain itu, pihak CSB juga menekankan salah satu cabaran yang sering terjadi ialah seseorang pengguna memuat naik gambar keluarga atau ahli jemputan ke media sosial tanpa izin mereka.
Kita mengetahui, Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk kita berjumpa saudara mara dan rakan-rakan untuk kita saling mengeratkan lagi ikatan silaturahim yang sudah lama terbina maka di saat itulah kita kebiasaan akan mengambil kesempatan untuk bergambar beramai-ramai.
Namun adalah seeloknya, jika kita memainkan tanggungjawab untuk memaklumkan kepada mereka bahawa gambar itu akan disiarkan di media sosial terlebih dahulu. Jika tidak mempunyai izin atau restu daripada mereka, hormatilah permintaan mereka dan jangan muat naik gambar tersebut ataupun gunakan aplikasi untuk menyunting gambar atau muka mereka jika perlu dengan sebaiknya. Hal ini begitu penting untuk menyemai amalan beretika dalam menggunakan media sosial lebih-lebih lagi untuk saling hormat-menghormati.
Di samping itu, berkongsi gambar anak kecil tanpa izin daripada ibu bapa atau penjaga mereka juga salah satu cabaran yang dikemukakan oleh pihak CSB. Kita sering terlepas pandang mengenai isu tersebut. Jika mengambil gambar anak kecil dan ingin berkongsi gambar mereka di media sosial, sebaiknya adalah memastikan mendapatkan izin daripada ibu bapa atau penjaga mereka.
Menjadi tanggungjawab bersama
Begitu juga, satu tabiat yang sering terjadi kepada para pengguna media sosial ialah memuat naik gambar yang menunjuk-nunjuk barang peribadi seperti kereta, rumah termasuklah gambar yang menunjuk-nunjuk duit raya.
Tanpa disedari, perbuatan berkenaan boleh membahayakan kerana ini memberi pandangan kepada orang yang berniat jahat untuk dijadikan sasaran mereka iaitu mangsa penipuan dalam talian.
Manakala cabaran yang lain yang dikongsikan oleh CSB adalah berkongsi jemputan rumah terbuka tanpa menapis butiran peribadi. Berhati-hati kepada siapa awda menghantar jemputan ‘rumah terbuka’ awda melalui aplikasi WhatsApp kerana ia kebiasaannya mengandungi maklumat peribadi awda seperti nama dan alamat. Maka perlu sentiasa peka dan berhati-hati dengan mengesahkan nombor telefon mereka yang dimaksudkan terlebih dahulu agar dijauhi daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Secara umumnya, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sentiasa berhati-hati dalam setiap gerak-geri kita menggunakan media sosial iaitu jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi di media sosial. Seeloknya, lakukan penapisan rakan dan pengikut awda di media sosial dan tetapkan profil awda kepada peribadi serta semak sumber terlebih dahulu jika menerima mesej tular.