Tingkatkan kreativiti individu

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Dayang Siti Maisarah binti Mohammad Asnawi dari Sekolah Rendah Datu Ratna dan Awangku Muhammad Aqil Nufall bin Pengiran Hasnul Bahrin dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) masing-masing johan dalam kategori A dan B dalam Pertandingan Peringkat Akhir Bercerita Foklor ASEAN 2018 yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hari ini.

Di majlis itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jenaral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan.

Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Sariani bin Haji Ishak menjelaskan, pertandingan Mari Bercerita ini merupakan salah satu projek tahunan DBP yang diungkayahkan oleh Bahagian Perpustakaan sejak tahun 1983 dan pada tahun ini adalah kali ke-34 ia diadakan.

Menurutnya, sepanjang pertandingan ini, pelbagai format pertandingan silih berganti yang menandakan adanya dinamik dan kepelbagaian kreativiti dalam bercerita sekali gus menarik lebih banyak penyertaan.

“Pada pertandingan kali ini, peserta mengetengahkan cerita folklor ASEAN yang merupakan julung kalinya diadakan di mana semua peserta akan membawakan cerita dari negara-negara ASEAN yang merangkumi mitos, cerita-cerita dongeng, legenda, cerita rakyat, cerita pertuturan atau lisan dan sebagainya,” tambahnya.

Yang Berhormat Mejar Jenaral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyaksikan persembahan salah seorang perserta pertandingan.

Katanya lagi, “Pertandingan Bercerita Folklor Asean ini merupakan inisiatif DBP dalam menyediakan platform bagi membangunkan psikologi positif, mendorong perkembangan kognitif dan psikomotor peserta dalam memaparkan potensi dan kebolehan masing-masing.”

Antara lain tujuan pertandingan ini adalah untuk mempromosi dan menyerlahkan cerita-cerita rakyat negara-negara ASEAN terutama kepada generasi muda di negara ini di samping memupuk semangat membaca sekali gus memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Pertandingan ini disertai oleh 118 orang murid-murid dari 39 buah sekolah rendah kerajaan dan bukan kerajaan di seluruh negara di peringkat saringan yang berumur antara lapan hingga 12 tahun.

Peraduan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Bahasa Melayu dan kategori Bahasa Inggeris itu berjaya menampilkan lapan peserta yang layak bertandingan di peringkat akhir.