Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Beberapa inisiatif ke arah meningkatkan kualiti sektor pembinaan di negara ini dikongsikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa menyampaikan usul menjunjung kasih pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-16 di Dewan Persidangan, hari ini.
Yang Berhormat Dato dalam usul menjunjung kasih menyentuh mengenai kualiti sektor pembinaan di negara ini yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-16 dan menekankan keperluan pengawasan.
“Selain memastikan projek dilaksanakan dengan baik dan teliti serta penggunaan wang kerajaan digunakan dan diurus secara tulus dan amanah,” tegasnya.
Selaku agensi yang dipertanggungjawabkan dalam memudah cara bagi pertumbuhan industri pembinaan dan pengurusan untuk projek kerajaan, jelasnya, Kementerian Pembangunan sangat menjunjung kasih atas titah saranan Baginda itu dan akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti sektor pembinaan di negara ini.
Beliau seterusnya mengongsikan beberapa inisiatif di mana pegawai projek atau pegawai pengawas yang ditugaskan di tempat-tempat projek bagi memastikan pembinaan adalah sentiasa di tahap yang memenuhi keperluan sebagai seorang pengawas dan ini termasuk juga kualiti bahan binaan yang memenuhi kehendak spesifikasi kontrak.

Katanya lagi, Garis Panduan Manual Pengawasan Kualiti yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya, merupakan dokumen rujukan bagi semua pegawai projek atau pegawai pengawas yang diguna pakai dalam memastikan tatacara prosedur pengawasan kerajaan yang lebih efektif, teratur dan menurut piawaian kontrak.
Garis panduan berkenaan, jelasnya, akan diedarkan kepada pihak berkenaan yang dipertanggungjawabkan bagi mengurus dan mentadbir projek pembinaan. Selain itu, pihak kementerian juga akan sentiasa menambal baik garis panduan ini dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa dan keadaan.
Yang Berhormat Dato turut menyentuh mengenai bahan binaan, di mana semua produk yang diguna pakai dalam projek kerajaan dikehendaki untuk berdaftar dengan kementerian melalui pembekal yang berdaftar.
Penubuhan Jawatankuasa Pendaftaran Produk Bahan-bahan Binaan (JKPPBBB) di bawah Kementerian Pembangunan, tambah beliau, berperanan untuk mendaftar bahan binaan yang digunakan dalam industri pembinaan serta meneliti dan menilai laporan ujian yang dihadapkan oleh syarikat pembekal dari masa ke semasa sebelum mendapat kebenaran untuk produk tersebut di daftarkan dan digunakan pakai bagi projek kerajaan.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa pihak kementerian serta agensi berkenaan akan terus berusaha meningkatkan lagi usaha dan inisiatif dalam menangani projek kerajaan.
“Selain sentiasa membuat pemantauan supaya tidak berlaku penyelewengan menggunakan bahan yang murah atau rendah kualiti dan menjunjung kasih atas cadangan dan saranan serta buah fikiran daripada ahli MMN untuk menambah baik inisiatif yang sedia ada,” ujarnya.