Tingkatkan landskap digital 2025

KUCHING, 9 JUN – Kerajaan negeri Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) menyasarkan untuk meningkatkan kesalinghubungan digital ke seluruh negeri itu pada 2025, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Beliau berkata, garis masa itu ditetapkan kerana Sarawak hanya mula mengerakkan program pendigitalannya dua tahun lalu dan memerlukan masa untuk semua infrastruktur yang diperlukan beroperasi.

“Dengan penubuhan SMA, kami (kerajaan negeri) telah memberikan mereka dana RM1 bilion dan ia mengambil masa untuk kami membina menara dan optik fiber dan ini amat penting dan ia dalam proses sekarang ini. Ia memerlukan masa,” katanya.

Menjawab soalan seorang peserta webinar ‘Post COVID-19: Sarawak the New Normal’ yang dianjurkan dalam talian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) beliau berkata, SMA akan terus mengkaji pelbagai teknologi bagi mempercepatkan kesalinghubungan digital di Sarawak.

“Infrastruktur itu, saya harap pada tahun 2023 atau 2025, harapannya akan meliputi antara utara dan selatan Sarawak dan tentunya akan mengubah landskap kesalinghubungan (digital) di Sarawak. Ia tugas sukar, tetapi saya berharap kita tentunya akan mencapai sasaran.” katanya. – Bernama