Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Solat dengan khusyuk bukan saja mencegah pelakunya daripada keburukan dan kemungkaran malahan akan sentiasa dalam reda Allah.
Solat adalah waktunya untuk berdoa dan mengadu kerana Allah SWT dekat apabila waktu solat.
Perkara itu antara yang ditegaskan oleh Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar selaku fasilitator Jerayawara Menghalusi Solat Mazhab Syafi’i bagi pegawai dan guru di bawah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Uga-ma, di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), hari ini.
Dalam penerangan bertajuk ‘Menghalusi Tertib Solat Mazhab Al-Syafi’ie R.A’ itu, beliau antara lain memfokuskan mengenai rukun fi’li iaitu cara solat bagi mencegah kemungkaran.
Jerayawara anjuran Fakulti Syariah, KUPU SB dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu berlangsung selama empat hari dan akan berakhir esok.
Kira-kira 1,200 orang pegawai pelajaran dan guru-guru di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama Seluruh negara menyertai jerayawara berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, antara objektif jerayawara berkenaan adalah untuk meningkatkan tahap kefahaman peserta mengenai kewajipan melaksanakan solat fardu lima waktu dengan sempurna serta menghalusi segala rukun dan syarat solat fardu menurut Mazhab Syafiie dengan mengukuhkan ketakwaan peserta demi menjaga solat fardu lima waktu dan mendirikannya secara berjemaah bersama keluarga dan masyarakat.