Tingkatkan perkhidmatan kewangan berasaskan digital

LABUAN, 15 OKT – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) meningkatkan usaha bagi menarik perkhidmatan kewangan berasaskan digital ke dalam Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) untuk memesatkan pertumbuhan ekonomi digital negara.

Ia juga berhasrat untuk turut serta dalam agenda kerajaan bagi memperkukuh ekosistem kewangan Islam nasional khususnya untuk melengkapkan tawaran pusat tersebut yang menawarkan struktur patuh Syariah yang dibangunkan untuk perniagaan antarabangsa.

Ketua Pengarahnya Danial Mah Abdullah berkata Labuan FSA dengan Labuan IBFC berusaha untuk mengubah Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan asing.

“Inisiatif untuk menubuhkan platform khusus bagi menarik pelaburan adalah strategik dan tepat pada masanya.

“Untuk Labuan, kami berharap pelaburan ini akan menghasilkan projek seperti cadangan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mah berkata demikian bagi mengulas pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng Jumaat lepas. – Bernama

Danial Mah Abdullah berkata lembaga sedang menggiatkan usaha untuk menarik perkhidmatan kewangan berasaskan digital dalam Pusat Perniagaan Antarabangsa Labuan untuk memesatkan ekonomi digital dalam negara. – Bernama