Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan persiapan hadapi bencana alam

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Walaupun Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam Fasa Peralihan, negara masih lagi berhadapan dengan gelombang kedua wabak COVID-19.

    “Ini mendorong negara ini agar terus berwaspada dan bersiap sedia secara bersepadu dalam menangani wabak ini dengan berpandukan garis panduan yang ditetapkan serta menggunakan kaedah pendekatan senegara.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan dalam ucapan alu-aluannya semasa mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Bencana Kebangsaan bagi Tahun 2021 yang berlangsung di Aras 1, Bilik Mesyuarat West Wing, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Turut hadir di mesyuarat berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof selaku pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa, pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), timbalan pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) serta setiausaha-setiausaha tetap dari kementerian-kementerian kerajaan yang lain selaku ahli-ahli majlis.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam ucapannya lagi merakamkan penghargaan terhadap Kementerian Kesihatan serta agensi-agensi terbabit dalam melaksanakan langkah-langkah membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Bencana Kebangsaan 2021, kelmarin. Turut hadir ialah Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan. – Gambar serahan NDMC
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menghadiri Mesyuarat Pertama Majlis Bencana Kebangsaan 2021. Turut hadir ialah Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan. – Gambar serahan NDMC

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri juga mengingatkan mengenai ancaman lain yang dihadapi di negara ini yang menjurus kepada kejadian-kejadian bencana alam seperti banjir, banjir kilat serta angin kencang yang berpunca daripada perubahan musim tengkujuh.

    Beliau seterusnya menyeru supaya ahli-ahli Majlis Bencana Kebangsaan akan dapat meningkatkan kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sentiasa terjamin dengan menggunakan pendekatan senegara iaitu termasuk penglibatan dari sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan dan sukarelawan serta para pemimpin akar umbi dalam sama-sama bersiap sedia dan bertindak balas dalam pengurusan bencana bersama agensi-agensi kerajaan sekiranya diperlukan.

    Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Pehin menegaskan kepada agensi-agensi yang berkenaan untuk memberi perhatian kepada tempat-tempat yang berisiko banjir melalui inisiatif-inisiatif yang sedia ada, selaras dengan pencapaian negara bagi membina komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana melalui tindakan dan pelaksanaan agensi-agensi yang berkepentingan termasuk penglibatan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

    Di kesempatan itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi berkenaan bagi menangani kejadian banjir seperti rancangan atau projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan bagi mengurangkan risiko banjir di daerah-daerah terjejas.

    Mesyuarat telah pun mendengar perkembangan usaha dan inisiatif di peringkat kebangsaan, iaitu perkemaskinian draf Disaster Management Strategic Policy Framework (DMSPF) supaya ia selaras dengan peringkat serantau dan antarabangsa.

    Antara lain, usaha juga ditumpukan kepada kesedaran awam di peringkat akar umbi seperti Program Kesedaran Awam Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Masyarakat (CBDRM), Program Kesedaran Awam Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Sekolah (SBDRM) dan program Disaster Preparedness Coordinator (DPC).

    Mesyuarat juga menyentuh mengenai komitmen di peringkat serantau melalui mekanisme seperti Mesyuarat ASEAN Committee on Disaster Management (ACDM) dan ASEAN Ministerial Meeting on Disaster Management (AMMDM) yang diadakan pada Oktober lalu.

    Salah satu pencapaian Brunei Darussalam adalah Projek Perkampungan ASEAN yang dikendalikan oleh AHA Centre yang ditanggung bersama oleh Negara Brunei Darussalam, Republik Filipina dan Australia serta memorandum persefahaman (MOU) bersama kerajaan Malaysia yang telah ditandatangani pada April lalu bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala, khususnya dalam pengurusan bencana dan pengurusan risiko bencana.

    Mesyuarat juga telah mendengarkan taklimat daripada setiausaha tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mengenai usaha dan inisiatif kementerian itu secara berterusan dalam mengambil perhatian tindakan-tindakan bantuan terhadap kesejahteraan masyarakat khususnya pengurusan bencana dan taklimat daripada pemangku ketua pengarah kerja raya mengenai strategi bagi mengurangkan risiko dan impak penduduk-penduduk yang terjejas oleh banjir khususnya di Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda