Tingkatkan solidariti meniti fasa peralihan

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani

Dalam meniti gelombang pandemik COVID-19 yang banyak membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat kepada norma baharu, pastinya menjadi tanggungjawab sosial semua lapisan masyarakat untuk berganding bahu menangani bersama pihak-pihak berkepentingan demi menuju ke arah corak pemulihan negara dalam semua aspek kehidupan harian.

Dengan erti kata lain, jika kita tidak bersatu, maka akan timpanglah matlamat negara untuk keluar daripada keadaan pandemik kepada endemik iaitu menerusi perlaksanaan Satu Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 yang kini sedang giat telah dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam.

Rangka kerja tersebut meliputi tiga fasa iaitu Fasa Persiapan, Fasa Peralihan dan Fasa Endemik di mana negara pada masa ini sedang berada dalam Fasa Persiapan iaitu dengan melaksanakan langkah-langkah kawalan pergerakan dan pelaksanaan Operasi Pulih serta mempercepatkan liputan vaksinasi.

Vaksinasi dos kedua secara walk-in

Dalam usaha untuk meningkatkan lagi peratusan pengambilan suntikan vaksin sepenuhnya dalam kalangan masyarakat di negara ini menuju ke arah fasa peralihan, maka Kementerian Kesihatan telah membukakan perlaksanaan vaksinasi suntikan dos kedua secara walk-in, bermula pada 9 November lalu.

Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup akan dibukakan secara walk-in dari pukul 5 petang hingga 10 malam, setiap Isnin hingga Khamis dan Ahad. Manakala itu, pada Jumaat (12 November) bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 10 malam dan Sabtu (13 November) dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menerima suntikan vaksin COVID-19 semasa Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun, baru-baru ini.
Kesemua pegawai dan kakitangan kerajaan dikehendaki menjalani ujian saringan ART secara berkala setiap dua minggu.
Setelah penduduk negara ini mencapai liputan vaksinasi penuh 70 peratus akan membenarkan perkumpulan ramai, pembukaan masjid, restoran, pejabat, kompleks sukan dan premis-premis lain bagi mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksin dengan SOP tertentu masih dikekalkan.

Pusat Vaksinasi Dewan Kemasyarakatan Belalong, Temburong, pula akan beroperasi dari pukul 8:15 hingga 11:30 pagi dan disambung dari 1:45 hingga 3:30 petang, setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu. Pusat Kesihatan Sungai Liang (Belait) dan Pusat Kesihatan Lamunin (Tutong) akan bermula dari pukul 1:45 petang hingga 4 petang setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Perlaksanaan vaksinasi bergerak ke rumah

Sehubungan dengan itu, Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang telah dilaksanakan pada sebelumnya di kawasan kampung dan mukim di keempat-empat buah daerah kini akan diteruskan lagi dengan dijalankan secara rumah ke rumah sahaja pada minggu ini oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Adapun perkhidmatan berkenaan telah bermula di Kampung Sungai Teraban, Daerah Belait pada 8 November lalu itu diteruskan ke Daerah Temburong selama dua hari iaitu pada 9 hingga 10 November 2021. Setelah itu, perkhidmatan tersebut akan bergerak ke Kampung Pandan, Daerah Belait; Kampung Pengkalan Batu dan Kampung Masin, Daerah Brunei dan Muara pada 11 November 2021 dan Kampung Mumong, Daerah Belait pada 13 November 2021.

Tetap patuhi SOP dalam fasa peralihan

Fasa peralihan yang ditunggu-tunggu akan bermula pada 19 November nanti, setelah penduduk negara ini mencapai liputan vaksinasi penuh 70 peratus akan membenarkan perkumpulan ramai, pembukaan masjid, restoran, pejabat dan premis-premis lain bagi mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksinasi dengan SOP tertentu masih dikekalkan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media mengenai Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Dalam fasa peralihan ini, katanya, negara akan menyaksikan pembukaan masjid, surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara bagi individu yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan had keramaian tertakluk kepada jumlah yang sesuai mengikut penjarakan fizikal.

Manakala pembukaan pejabat-pejabat kerajaan akan beroperasi mengikut waktu bekerja sementara yang dikuatkuasakan pada masa sekarang iaitu dari pukul 8 pagi hingga 2 petang dan hanya membenarkan pegawai dan kakitangan yang lengkap vaksinasi dengan ujian saringan Antigen Rapid Test (ART) dilakukan secara berkala setiap dua minggu.

Di samping itu, perkumpulan ramai di tempat-tempat awam, termasuk fasiliti kesukanan dan pembukaan premis-premis perniagaan seperti restoran, kafe, medan selera, panggung wayang, arked, taman permainan tertutup, salon dan kedai gunting, pasar dan tamu semasa fasa peralihan adalah dibenarkan bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi, dan dihadkan pada 50 peratus kapasiti tempat atau tidak lebih 200 orang yang mana lebih rendah, had itu juga dikenakan kepada tempat-tempat ibadat bagi agama lain.

Yang Berhormat Dato juga menekankan pihak pengurusan adalah juga dikehendaki mematuhi garis panduan atau SOP termasuk mengemaskinikan senarai pekerja dalam aplikasi BruHealth dan memastikan pekerja mereka juga telah melengkapkan vaksinasi mereka, premis-premis dikehendaki mendaftar kod QR masing-masing di dalam BruHealth dengan had kapasiti masing-masing di mana premis-premis tidak dibenarkan menerima pelanggan setelah mencapai had 50 peratus kapasiti berkenaan.

Pemilik premis juga hendaklah memastikan semua individu yang memasuki premis mengimbas aplikasi BruHealth termasuk semua pekerja, kakitangan, sukarelawan, pemilik premis untuk memastikan hanya individu yang mempunyai kod BruHealth hijau dan kuning dibenarkan masuk.

Selain itu, pemilik premis perlu memastikan semua pekerja, kakitangan, sukarelawan yang layak diberi vaksin telah divaksin sepenuhnya serta penggunaan pelitup muka kecuali ketika makan atau minum, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter, pemantauan kesihatan diri dan ujian ART berkala serta memastikan premis mempunyai pengudaraan yang mencukupi.

Begitu juga dijelaskan, perkumpulan di rumah-rumah persendirian semasa fasa itu adalah dibenarkan bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan dihadkan kepada 10 hingga 30 orang sahaja iaitu tertakluk kepada saiz tempat kediaman.

Sementara itu, pembukaan sebahagian sekolah-sekolah bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan membuat ujian saringan ART secara berkala iaitu setiap dua minggu bagi institusi pengajian tinggi, sekolah teknikal dan kemahiran serta sekolah memandu.

“Bagi yang tidak dapat mendapatkan vaksinasi atas sebab kesihatan (medically-exempted) adalah tidak dibenarkan memasuki mengunjungi premis di atas,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.

Syarat vaksinasi mandatori, tambahnya, adalah dilaratkan kepada tenaga pengajar, pekerja-pekerja persekolahan lain (non-teaching staff), petugas dan penjaga di sekolah-sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak, pelatih-pelatih dan sebagainya. Namun bagi mereka yang mempunyai sebab-sebab kesihatan seperti alahan akan dikecualikan daripada syarat berkenaan iaitu berdasarkan pengesahan perubatan yang diberikan.