Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Tingkatkan SOP ketuhanan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWA, 13 MAC – Dalam menjalani Fasa Endemik, prosedur operasi standard (SOP) ketuhanan perlulah juga diamalkan dan dipertingkatkan lagi melalui keyakinan dan tawakal umat Islam negara ini kepada Allah SWT.

    Bagi meningkatkan keyakinan dan tawakal ini, terdapat lima cara iaitu berusaha, sabar, tawakal, doa dan yakin, menurut Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk pada tazkirah bertajuk ‘Fasa Endemik Amalkan SOP Ketuhanan’ yang disampaikan pada Malam Munajat Mingguan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) secara maya dari Surau KUPUSB kelmarin.

    Malam Munajat Mingguan ke-26 ini disertai sebanyak 62 buah masjid seluruh negara secara maya yang turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Pada minggu ini, Malam Munajat dipimpin oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof (gambar) yang memulakan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah bersama warga kementeriannya.

    Pada tazkirahnya lagi, Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi menekankan dengan mengamalkan kelima-lima SOP ketuhanan ini, insya Allah akan lahirlah dalam diri kita sifat reda yang merupakan ubat segala kegusaran.

    Menurutnya, pertamanya, kita perlu berusaha menjauhkan diri kita daripada perkara yang membinasakan diri. Setelah kita berusaha, kita juga dituntut untuk sabar. Semakin besar ujian yang Allah berikan kepada makhlukNya, maka semakin besarlah juga tingkatan kesabaran yang perlu untuk kita laksanakan. Orang yang sabar tidak akan bertindak di luar batasan agama, kerana sifat sabar membolehkan kita mengatasi segala ujian Allah SWT dengan tenang.

    Beliau juga mengongsi tiga tingkatan sabar yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW menerusi hadis riwayat Ali bin Abi Talib, yang mana Rasulullah SAW bersabda, “sabar itu ada tiga: sabar dalam musibah, sabar dalam taat, dan sabar dalam menjauhi maksiat.

    Barang siapa yang bersabar dalam musibah sehingga dikembalikan keadaan baik atas apa yang menimpa dirinya, iaitu ia reda atas ujian yang diberikan kepadanya, maka Allah akan menulis baginya 300 darjat yang tiap-tiap darjat jaraknya antara langit dengan bumi, tekannya.

    Beliau juga menjelaskan ujian yang umat Islam hadapi sekarang adalah disebabkan Allah ingin mendengar doa dan rintihan hamba-hambaNya, bagi hambaNya memperbanyakkan doa serta mengharap Allah SWT akan mengabulkan segala doa-doa kita.

    Menurutnya, apabila kita semakin gusar serta merasakan bahawa semua yang kita lakukan seolah-olah tidak ada tindak balas, mungkin saja kita lupa akan SOP Ketuhanan yang kelima iaitu keyakinan kepada Allah SWT setelah kita berusaha, bersabar, bertawakal dan berdoa.

    Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar reda apabila kita diuji dengan musibah khususnya dengan wabak COVID-19, kerana reda menjadikan kita jauh lebih tenang untuk menyelesaikan apa jua masalah yang kita hadapi.

    “Insya Allah dengan kita mengamalkan lima SOP Ketuhanan ini, mudah-mudahan Negara Brunei Darussalam sentiasa dilindungi oleh Allah SWT,” ujarnya.

    Malam Munajat juga diserikan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai, Doa Munajat. Asma’ul Husna dan selawat serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.  

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...