Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Negara Brunei Darussalam akan memasuki monsun timur laut pada awal Disember ini dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung Mac 2022.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) menjelaskan, dua bulan pertama monsun pada Disember 2021 dan Januari 2022, dikenali sebagai musim tengkujuh, lazimnya menerima jumlah turunan hujan yang banyak dan merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.
Semasa tempoh ini, negara akan mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.
Berasaskan data klimatologi, tambah kenyataan, Disember menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 358.9mm manakala Januari sebanyak 320.6mm yang mana purata bagi hari-hari berhujan bagi Disember ialah 22 hari manakala Januari pula 18 hari.
Manakala itu, dalam tempoh separuh kedua monsun, Februari dan Mac 2022, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan. Jumlah purata turunan hujan bagi Februari ialah 162.9mm dan bagi Mac 143.4mm.
BDMD menekankan bahawa semasa musim tengkujuh, adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai.
Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang serta risiko kejadian tanah susur dan pokok tumbang boleh terjadi semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih satu jam. Luruan angin timur laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora yang mana boleh mencapai sehingga 3.5 meter dan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku semasa musim tengkujuh ini.
Keadaan laut juga berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jet ski, dan scuba diving) semasa musim ini.
Orang ramai, pemandu jalan raya dan pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kenyataan menyatakan bahawa BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik saja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram @bruneiweather.
Dalam pada itu, BDMD turut memaklumkan bahawa tayangan perdana bagi taklimat cuaca kebangsaan mengenai monsun timur laut akan disiarkan esok dan boleh disaksikan secara maya melalui laman YouTube bruneiweather.