Tinjau keadaan banjir di Belait

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Kejadian hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini telah menyebabkan berlakunya kejadian banjir di kawasan pedalaman Daerah Belait yang rendah di daerah berkenaan.

Laporan banjir yang diterima sejak 29 November hingga hari ini, menyatakan bahawa kejadian banjir telah menjejaskan beberapa buah kawasan di Daerah Belait iaitu di Kampung Merangking Hilir, Kampung Sungai Mau, Jalan Kandul, Jalan Laid Lakang, dan Kampung Sukang melibatkan 79 orang penduduk kampung.

Sehubungan dengan itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan, meninjau kawasan-kawasan terjejas banjir di Daerah Belait, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di sini, hari ini, turut menyertai lawatan kerja itu ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; Pemangku Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kesela-matan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail; Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin; Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Awang Shahrin bin Haji Mohd Jawie serta pegawai-pegawai agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Menurut kenyataan, sebelum meninjau ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir, Yang Berhormat Pehin telah mendengar penerangan daripada Awang Ramlee selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait mengenai status terkini dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membuat tinjauan ke kawasan-kawasan yang terjejas oleh banjir. – Gambar serahan KHEDN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri diberikan penerangan mengenai status terkini dan langkah-langkah yang diambil dalam menangani kejadian banjir di Daerah Belait. – Gambar daripada KHEDN

DDMC Belait telah membuat beberapa persediaan menghadapi banjir dengan memantau paras air setiap hari melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi B, Daerah Belait bermula 1 Oktober lalu.

Di samping itu, pihak DDMC juga menghulurkan catuan makanan kepada penduduk kampung yang terjejas bermula 1 November melalui pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat dan juga pengangkutan berupa perahu jenis gentian untuk kegunaan penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan sungai. Pos Perintah Insiden (ICP) telah diaktifkan di Dewan Serba Guna Kampung Merangking bermula 3 Disember.

Yang Berhormat Pehin juga meninjau beberapa buah kawasan terjejas banjir iaitu Simpang 1366 Kampung Merangking Hilir, Jalan Kandul, Jalan Laid Lakang dan Kampung Sungai Mau, seterusnya menghulurkan catuan makanan kepada empat buah keluarga yang terjejas akibat banjir di Jalan Kandul dan empat buah keluarga di Kampung Sungai Mau.

Sebagai usaha bersepadu dan muafakat, agensi-agensi kerajaan khususnya penghulu mukim, ketua kampung, Jabatan Daerah Belait, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan (EMAS), Pusat Kesihatan Kuala Belait, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bekerjasama dan membuat pemantauan secara berterusan ke atas kawasan-kawasan yang terjejas banjir.