Tinjau kelancaran majlis kesyukuran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Bagi memastikan kelancaran Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang akan diadakan pada 22 Februari ini, satu tinjauan telah dibuat di Masjid
Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini.

Tinjauan dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Selain tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, acara keagamaan itu juga akan diadakan di beberapa buah masjid di seluruh negara, di mana di Daerah Brunei dan Muara, acara tertumpu di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan.

Bagi Daerah Belait, tumpuan majlis ialah di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait dan Masjid Pekan Seria.

Bagi Daerah Tutong pula akan diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, manakala itu, di Daerah Temburong, majlis akan berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie ketika meninjau persiapan majlis kesyukuran di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.