Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Tinjau kemasukan pelajar IBTE

    Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JAN – Sempena pembukaan semula kampus institusi-institusi pengajian tinggi dan pendidikan teknikal di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh beserta rombongan telah membuat lawatan kerja ke tiga kampus Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) iaitu IBTE Kampus Agroteknologi, IBTE Kampus Nakhoda Ragam dan IBTE Sekolah Penerbangan, hari ini.

    Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, antara tujuan lawatan adalah untuk meninjau lebih dekat kemasukan pelajar-pelajar ke institusi-institusi pengajian pada hari pembukaan semula kampus-kampus, khususnya semasa Fasa Awal Endemik COVID-19.

    Lawatan juga bertujuan untuk melihat secara langsung dan lebih dekat lagi kemudahan-kemudahan di institusi pengajian yang disediakan untuk pengawalan COVID-19 seperti ruang ujian pantas antigen (ART) dan bilik pengasingan diri, penjarakan sosial di dalam bilik kuliah, serta pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran secara hibrid di kampus dan latihan praktikal di makmal dan bengkel yang dijalankan mengikut garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak institusi.

    Ketibaan Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah telah dialu-alukan oleh Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, pengetua-pengetua IBTE kampus pusat dan satelit, ketua-ke-tua sekolah berkenaan dan pegawai serta kakitangan di kampus-kampus tersebut.

    Pada lawatan itu, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah juga berkesempatan memerhatikan beberapa sesi pembelajaran dan pengajaran yang berlangsung di bilik makmal dan bengkel latihan, di mana beliau turut berpeluang berinteraksi bersama para pelajar yang menjalani latihan praktikal, di samping memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

    Seterusnya, beliau meninjau kemudahan lain yang terdapat di kampus-kampus tersebut seperti asrama pelajar, kawasan pertanian bagi program AgroBiz, dan hangar yang menempatkan beberapa buah helikopter dan kapal terbang yang digunakan sebagai bengkel latihan.

    Lawatan kerja Timbalan Menteri Pendidikan ke sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan telah diadakan sejak Disember tahun lalu yang bertujuan untuk memantau persediaan institusi-institusi dalam memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang dijalankan secara berperingkat mengikut SOP yang disediakan.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh berserta rombongan semasa mengadakan lawatan kerja ke tiga kampus Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) iaitu IBTE Kampus Agroteknologi, IBTE Kampus Nakhoda Ragam dan IBTE Sekolah Penerbangan sempena pembukaan semula kampus institusi-institusi pengajian tinggi dan pendidikan teknikal di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.
    Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah semasa melawat IBTE Kampus Agroteknologi kelmarin.
    Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah berinteraksi bersama pelajar-pelajar yang menjalani latihan praktikal di IBTE Sekolah Penerbangan.
    Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah bergambar ramai bersama kakitangan IBTE Kampus Nakhoda Ragam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...