Tinjau kemudahan pengimbasan Hospital RIPAS

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Rombongan seramai 30 orang pelajar Tahun 12 dan dua orang guru dari Jabatan Psikologi, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah mengadakan lawatan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi melihat lebih dekat kemudahan pengimbasan yang terdapat di Jabatan Radiologi.

Lawatan telah dijalankan dalam masa tiga hari bagi untuk memberikan gambaran sebenar mengenai kehidupan di jabatan berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JIS, di sini, hari ini.

Kenyataan menyatakan, lawatan telah dimulakan dengan pengenalan kepada kemudahan pengimbasan otak yang terdapat di hospital berkenaan sebelum dibawa melawat ke bilik-bilik pengimbasan CT dan MRI oleh jururadiografi berpengalaman, Dr Lim yang menjelaskan kepada para pelajar mengenai prosedur dan kekuatan serta batasan mesin-mesin berkenaan.

Menurut kenyataan itu, lawatan pendidikan ke Hospital RIPAS itu membolehkan pelajar-pelajar psikologi untuk mempelajari lebih mendalam mengenai teknik-teknik pengimbasan otak yang merupakan bahagian penting sukatan pelajaran Psikologi A Level. Lawatan itu meningkatkan pemahaman para pelajar mengenai kaitan antara psikologi (struktur otak) dan kognisi seperti pemprosesan mental (berfikir, bahasa, perhatian, persepsi dan memori).

Sebahagian pelajar Tahun 12 JIS ketika mengadakan lawatan ke Pusat Radiologi, Hospital RIPAS. – Gambar daripada JIS