Gambar oleh Infofoto
SINGAPURA, 30 Okt – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei hari ini berkenan mengadakan lawatan ke Unmanned Aerial Vehicle Command (UAVC), Kementerian Pertahanan yang di Tengah Air Base, Republik Singapura.
Mengiringi Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki Osman selaku menteri pengiring.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pertahanan, TYT Ng Eng Hen dan Panglima Udara, Mejar Jeneral Mervyn Tan.
Sejurus keberangkatan tiba di Tengah Air Base, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung ke Pentas Khas bagi menerima Tabik Khas.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan memeriksa kawalan kehormatan dengan diiringi oleh TYT Ng Eng Hen dan Mejar Jeneral Mervyn Tan.






Selesai memeriksa kawalan kehormatan, Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung menandatangani lembaran kenangan di Bilik Heritage sebelum berkenan mendengarkan sembah taklimat mengenai UAVC.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian dijunjung berangkat ke Murai Base Camp bagi menyaksikan demonstrasi dua jenis UAV Operation dan berkenan bergambar ramai bersama pegawai-pegawai kanan Operasi UAV.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berangkat ke UAV Mission Training Centre bagi menyaksikan dan menguji cuba UAV Training Simulator sebelum dijunjung berangkat ke Majlis Resepsi bersama pegawai-pegawai kanan, Kementerian Pertahanan Republik Singapura.
Selesai majlis resepsi tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah daripada Mejar Jeneral Mervyn Tan dan TYT Ng Eng Hen.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan cenderahati balas kepada Mejar Jeneral Mervyn Tan dan TYT Ng Eng Hen.
Setelah sesi lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung bagi Majlis Santap Tengahari dihoskan oleh Menteri Pertahanan Republik Singapura di Grand Hyatt Hotel.