Oleh Yusrin Junaidi
BANGAR, 11 April – Daerah Polis Temburong telah menerima kunjungan pertama Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam berserta rombongan dari Ibu Pejabat Polis dalam siri lawatan kerja Pesuruhjaya Polis ke Daerah-Daerah Polis.
Lawatan tersebut antara lain bertujuan mengetahui keupayaan khidmat kepolisan di Daerah Polis, mengenal pasti cabaran-cabaran serta isu-isu yang dihadapi oleh Daerah Polis, mengkaji semula aset yang ada serta aset yang akan diperlukan dan meninjau kebajikan pegawai-pegawai dan anggota-anggota di Daerah Polis.
Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan di sini berkata, perkara-perkara yang disampaikan ke peringkat atasan secara bersemuka akan lebih telus (transparent) tanpa ada ‘red tape’ dan pihak atasan dapat memberi respons secara spontan berdasarkan kepada dasar-dasar dan peraturan-peraturan pasukan yang ada pada masa ini.
Menerusi siri lawatan kerja itu juga pegawai-pegawai dan anggota-anggota pangkat rendah dapat menyampaikan aspirasi dan harapan kepada peringkat ibu pejabat secara lebih telus dan terbuka.
Terdahulu, Perbarisan Pesuruhjaya Polis telah dimulakan sejurus ketibaan Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy, yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah dan Lalulintas Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis Percubaan Pengiran Haji Mohd Saiful Ariff bin Pengiran Haji Duraman.
Ini diikuti dengan taklimat bagi Daerah Polis Temburong yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penguasa Polis Matusin bin Haji Jumat.
Dalam taklimatnya, beliau antara lain menerangkan mengenai penugasan kepolisan mengikut struktur yang telah diatur oleh Ibu Pejabat Polis dengan perincian setiap keanggotaan, aset-aset, strategi-strategi pencegahan dan pembanterasan jenayah serta keupayaan dalam menangani satu-satu situasi yang boleh mengancam keselamatan penduduk daerah-daerah.
Beliau turut menyentuh mengenai kerjasama di antara agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang serta Pengawasan Kejiranan di daerah dan cabaran-cabaran yang dihadapi pada masa kini dan di masa akan datang.
Lawatan kerja tersebut diakhiri dengan lawatan persekitaran di Daerah Polis Temburong dan Balai Polis Bangar.
Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy juga dibawa melawat ke pos polis mukim dan pos kawalan polis di bawah jagaan Daerah Polis Temburong yang mana ianya berfungsi dalam memberikan khidmat kepolisan dan memberi bantuan kepada masyarakat di Daerah Temburong.