Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Tinjau lebih dekat fasiliti BIL

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Berikutan dengan pelancaran Brunei Innovation Lab (BIL) pada 13 Julai lepas, rombongan Kumpulan QAF Brunei dan Brunei Press Sdn Bhd diberikan peluang untuk mengenali lebih dekat fasiliti tersebut yang terletak di tingkat bawah dan tingkat satu Knowledge Hub (kHUB) di Anggerek Desa, hari ini.

    Rombongan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau itu turut dihadiri sama oleh Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Mohd Najmuddin bin Abdul Razak dan kakitangan syarikat tersebut.

    Semasa kunjungan rombongan ke Darussalam Enterprise (DARe) di BIL itu, Pengurus Besar BIL dan Naib Presiden Bersekutu Perniagaan Digital di Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Freddie Ting semasa temu bual berkata penubuhan BIL adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara pintar melalui Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

    Oleh itu, katanya, pada peringkat awal pelancarannya, adalah penting untuk memupuk kesedaran mengenai BIL, seiring dengan usaha mereka untuk mendapatkan semua potensi kerjasama daripada rakan kongsi yang berbeza untuk melihat jenis peranan atau sokongan yang boleh dibawa ke dalam ekosistem.

    Makmal itu, hasil kerjasama antara Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Shell LiveWIRE Brunei (LiveWIRE), DST dan DARe, merupakan saluran untuk peserta menjalankan program usahawan teknologi, latihan, sesi pitching dan sebagai ruang galeri pameran teknologi untuk orang ramai mempelajari mekanisme konsep dan aplikasi praktikal teknologi baharu.

    Albert Lau dan Mohd Najmuddin mendengarkan penjelasan daripada Freddie Ting semasa lawatan rombongan Kumpulan QAF Brunei dan Brunei Press ke Brunei Innovation Lab (BIL) di Anggerek Desa kelmarin.

    Freddie Ting berkata pembangunan ekosistem inovasi dan teknologi meningkatkan saluran penyelesaian dan produk yang bukan sahaja menangani peluang tempatan, tetapi juga berpotensi untuk ditingkatkan di luar Brunei Darussalam.

    Satu lagi aspek yang sedang diusahakan mereka, menurut Freddie, adalah dalam meningkatkan literasi digital merentas semua peringkat untuk merangsang lebih banyak minat, serta mendapatkan sokongan daripada industri itu sendiri dan pengawal selia untuk mengemudi ke arah pembangunan ekosistem secara keseluruhan.

    Freddie berkata budaya dan pemikiran inovasi bukan sahaja harus diterapkan kepada organisasi tetapi negara secara keseluruhan, justeru mereka mempunyai projek utama seperti pembayaran digital dan teknologi kewangan (fintech).

    Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Daniel Leong Nyuk Ming semasa lawatan itu menjelaskan bahawa BIL bukan hanya satu saluran di mana usahawan dan bakal usahawan boleh datang dan berhubung dengan teknologi, tetapi juga perniagaan yang sudah mampan pada masa yang sama.

    Daniel berkata, dengan BIL, mereka mahu menjana rangkaian yang mencukupi untuk meneruskan ke peringkat seterusnya.

    “Semasa melakukan ini, pasukan akan bekerjasama rapat dengan semua pihak. Selain itu, apa yang kami cuba lakukan adalah membina komuniti kerana kami tidak boleh melakukan segala-galanya. Kami memerlukan sokongan daripada semua orang di negara ini dan seterusnya untuk memainkan peranan mereka,” tambahnya.

    Selain taklimat ringkas mengenai BIL, rombongan itu juga dibawa melawat ke beberapa tempat yang mempamerkan kemudahan-kemudahan yang terdapat di BIL.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...