Tinjau lokasi kebakaran di Kg Burong Pingai Ayer

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan KHEDN

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Empat buah rumah ranap dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Burong Pingai Ayer malam kelmarin.

Sehubungan dengan itu, bagi memantau tindakan yang diambil ke atas insiden tersebut, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin telah mengadakan lawatan ke Kampung Burong Pingai Ayer, hari ini.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEDN dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), pemangku timbalan setiausaha tetap KHEDN, pemangku pengarah urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), pegawai Daerah Brunei dan Muara, pemangku pengarah bomba dan penyelamat serta agensi-agensi yang berkepentingan lain.

Lawatan itu bertujuan untuk mendengar penerangan daripada pihak-pihak berkepentingan mengenai status terkini dan tindakan yang dilaksanakan dalam memberikan bantuan kepada penduduk terjejas bagi menjaga kesejahteraan mereka.

Dalam lawatan itu, para menteri berkesempatan untuk membuat kunjungan ke Kompleks Sukan Sungai Kebun berdekatan bagi melihat penempatan sementara penduduk kampung yang terjejas oleh kejadian kebakaran pada malam 16 Oktober itu.

KKBS melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) turut menghulurkan sumbangan bantuan berupa catuan makanan dan beberapa barang keperluan harian kepada keluarga yang terjejas oleh kejadian kebakaran semalam.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar semasa mengadakan lawatan ke Kampung Burong Pingai Ayer, kelmarin.
Keadaan rumah yang ranap dalam kejadian kebakaran di Kampung Burong Pingai Ayer pada malam 16 Oktober.