BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Dalam usaha untuk meninjau peluang-peluang kolaborasi dan kerjasama antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan institusi pengajian tinggi di China, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Yang Jian telah mengadakan kunjungan hormat kepada
Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal yang diadakan di universiti berkenaan, di sini, hari ini.
Dalam lawatan tersebut, Yang Jian menyatakan bahawa kerajaan Republik Rakyat China kini membukakan tawaran biasiswa kepada penduduk di negara ini untuk melanjutkan pengajian di negara berkenaan.
Dalam pada itu, Dr. Haji Norarfan turut menyuarakan hasrat untuk mengalu-alukan pelajar-pelajar Islam dari Negara China untuk melanjutkan pengajian ke Negara Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan UNISSA, ia kini telah membukakan ruang bagi yang berminat dalam bidang ekonomi dengan mengikuti kursus di Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam. Selain itu, UNISSA juga baru sahaja menubuhkan fakulti barunya iaitu Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam.

Di samping itu, UNISSA juga sedang merancang untuk menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan halal dalam usaha membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam merealisasikan wawasannya untuk menjadikan negara sebagai hab halal global.
Melalui kunjungan berkenaan, Dr. Haji Norarfan berharap UNISSA akan mampu merentasi sempadan antara benua dalam mengembangkan reputasinya sebagai sebuah universiti Islam yang unggul di Asia Tenggara.
Turut hadir dalam sesi perjum-paan berkenaan ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan beberapa orang pegawai utama UNISSA.