Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, hari ini, telah mengadakan lawatan kerja ke tiga buah kampung di daerah ini.
Program lawatan Yang Berhormat Pehin tertumpu kepada aktiviti perekonomian Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang dikendalikan oleh beberapa majlis perundingan kampung (MPK) khususnya MPK RPN Mentiri, MPK Sungai Matan dan MPK Sungai Bunga.
Beliau memulakan lawatan ke MPK RPN Mentiri di Dewan Kemasyarakatan Mukim Mentiri untuk melihat lebih dekat perkembangan produk 1K1P dan menyaksikan demonstrasi pembuatan kuih jala MPK berkenaan.
Produk 1K1P MPK RPN Mentiri berkenaan yang dinamakan Kuih Jala Hijrah diusahakan oleh ahli-ahli wanita MPK tersebut. Ketibaan Yang Berhormat Pehin serta rombongan dialu-alukan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman dan Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim.
Kemudian Yang Berhormat Pehin dan rombongan meneruskan lawatan ke perekonomian MPK Sungai Matan di mana ketibaan rombongan dialu-alukan oleh ahli MMN selaku Penghulu Mukim Kota Batu, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis dan Pemangku Ketua Kampung Sungai Matan, Awang Zulkhairi bin Haji Junaidi.


Semasa lawatan itu, Yang Berhormat Pehin mendengarkan taklimat mengenai produk perekonomian yang diusahakan oleh ahli-ahli MPK Sungai Matan iaitu produk makanan laut.
Seterusnya Yang Berhormat Pehin meneruskan lawatan ke MPK Sungai Bunga untuk melihat produk pembuatan keropok udang, ikan dan sotong dan juga perkhidmatan Seri Tanjung Homestay oleh MPK Sungai Bunga.
Rombongan dialu-alukan oleh Pemangku Ketua Kampung Pulau Baru-Baru, Sungai Bunga dan Tanjong Kindana, Haji Zaini bin Salleh yang turut menyampaikan taklimat mengenai produk yang diusahakan oleh ahli-ahli MPK tersebut.
Beberapa MPK di Daerah Brunei dan Muara telah berjaya menghasilkan produk-produk pemakanan seperti kuih tradisional, makanan laut dan aktiviti pelancongan.
Ini telah membuktikan komitmen mereka dalam melaksanakan projek-projek perekonomian khususnya penghasilan 1K1P ke arah menjana perkembangan sosioekonomi termasuk peluang pekerjaan kepada anak-anak buah kampung.
Lawatan kerja Yang Berhormat Pehin itu adalah sebagai penggalak kepada penduduk kampung untuk mengaktifkan dan meningkatkan aktiviti-aktiviti serta program yang boleh memberi semangat perpaduan.
Di samping itu, menggalakkan mereka terutama belia-belia untuk melibatkan diri secara lebih aktif dalam majlis perundingan mukim dan kampung terutamanya dalam memperkembangkan lagi 1K1P.
Lawatan kerja Yang Berhormat Pehin turut disertai oleh Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut; Timbalan Setiausaha Tetap (Bandar dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, para pegawai kanan KHEDN dan pegawai dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Statistik 2018 hingga 2019 menunjukkan jumlah penyertaan masyarakat dalam aktiviti perekonomian makanan dan minuman, perkhidmatan dan ekopelancongan, pertanian, penternakan dan perikanan, kraf tangan dan pembuatan meningkat daripada 1,003 kepada 1,057.
Manakala itu, bilangan pengusaha 1K1P keseluruhan bagi 2018 dan 2019 juga meningkat daripada 127 orang kepada 141 orang sementara bilangan bagi produk 1K1P juga secara tidak langsung meningkat daripada 222 kepada 253 produk.




























