Tinjau perkembangan terkini keadaan banjir di Belait

Oleh Ak Zaki Kasharan

BELAIT, 9 JULAI – Bagi meninjau perkembangan terkini kawasan-kawasan yang dilanda banjir akibat hujan lebat di Daerah Belait, rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pagi tadi telah mengadakan lawatan bagi menyaksikan lebih dekat keadaan kawasan yang terjejas.

Rombongan tersebut disertai oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Lawatan kerja Yang Berhormat Pehin dan Yang Berhormat Dato ke Daerah Belait hari ini adalah merupakan kesinambungan kepada lawatan-lawatan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke kawasan terjejas banjir di Daerah Tutong pada 28 Jun lalu dan di Daerah Belait pada 29 Jun lalu bersama pegawai-pegawai daerah selaku pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) yang bertindak sebagai penyelaras bersama di peringkat daerah.

Hasil daripada tinjauan adalah didapati beberapa kawasan atau jalan telah surut dan dapat dilalui oleh kenderaan khususnya bagi kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu, dalam lawatan pagi tadi, Yang Berhormat Pehin dan Yang Berhormat Dato juga telah berkesempatan membuat kunjungan ke beberapa buah rumah penduduk di Kampung Sungai Mau dan Jalan Kandul. Meskipun keadaan banjir sudah surut dan bertambah baik, pemantauan harian oleh DDMC Belait dengan kerjasama agensi-agensi yang berkepentingan akan terus dibuat bagi menjaga kemaslahatan penduduk di kawasan-kawasan berkenaan.

Hadir sama menyertai lawatan kerja tersebut ialah setiausaha tetap KHEDN, setiausaha tetap di KKBS, timbalan setiausaha tetap KHEDN, pegawai Daerah Belait, pemangku pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, penghulu dan ketua-ketua kampung di Mukim Bukit Sawat serta pegawai-pegawai agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengadakan kunjungan ke salah sebuah rumah ketika lawatan tersebut.
Antara kawasan rumah yang masih mengalami kesan banjir di Kampung Sungai Mau.
Rombongan terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk melalui kawasan yang dilanda banjir. – Gambar oleh Aziz Idris