Tinjau persediaan majlis kesyukuran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal  Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 tahun akan bermula dengan Majlis Kesyukuran pada petang 14 Julai 2019 di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Bagi memastikan acara berkenaan berjalan lancar, ahli-ahli jawatankuasa kerja acara keagamaan berkenaan telah membuat tinjauan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah yang dihadiri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73 dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Juga hadir ialah Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Selain tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, acara keagamaan itu juga akan diadakan di masjid-masjid seluruh negara.

Di Daerah Brunei dan Muara, acara akan diadakan di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Negara Lambak Kanan.

Di Daerah Belait, ia akan diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, Masjid RPN Kampung Pandan, dan Masjid Pekan Seria, Daerah Belait.

Manakala itu, di Daerah Tutong acara bakal berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Daerah Temburong di Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan hadir ke masjid dan menadah tangan agar raja yang dikasihi dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah negara dengan suasana penuh aman dan sentosa.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie ketika membuat tinjauan bagi Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.