Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Bagi kelancaran Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1439 Hijrah yang akan diadakan pada 14 April ini, raptai acara berkenaan telah diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Hadir menyaksikan raptai berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1439 Hijrah; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.


Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali selaku penolong setiausaha bersama Jawatankuasa Kerja Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara semasa ditemui mengongsikan bahawa keistimewaan sambutan pada tahun ini adalah ia menumpukan kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid seperti ‘Mari Bercerita’ dan pameran yang disertai oleh kumpulan belia-belia masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan belia yang bergiat aktif dalam aktiviti keagamaan.
Majlis sambutan itu nanti akan diisikan dengan bacaan Al-Quran dan kesimpulan maknanya, ceramah khas dan persembahan ‘Kisah dan Tauladan Dalam Islam’ serta diserikan dengan Pameran Program Keagamaan Belia di bawah KHEU.
Tema Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara pada tahun ini ialah ‘Sembahyang Berjemaah Meraih Berkat’.