Tinjau potensi pelancongan perubatan Sabah

KOTA KINABALU, 21 OGOS – Thailand sedang berusaha untuk meningkatkan pelaburannya di Sabah, khususnya dalam sektor pelancongan perubatan dan pakej pelancongan istimewa.

Duta Besar Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn, berkata negara itu juga berharap menjadi sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) melalui Kota Kinabalu.

“Dengan kemudahan pelabuhan dan terminal di Kota Kinabalu, Lebuh Raya Pan Borneo dan kepelbagaian asas industri, kami lihat Kota Kinabalu sebagai pintu masuk utama ke BIMP-EAGA.

“Kami harap Thailand boleh menjadi sebahagian daripada kawasan pertumbuhan,” katanya ketika berucap pada forum perdagangan dan padanan perniagaan bertajuk ‘Meningkatkan Perdagangan dan Pelaburan – Hubungan Antara Thailand dan Malaysia Timur (Sabah)’, di sini hari ini.

Duta Besar itu mengetuai kumpulan ahli perniagaan Thailand dan ahli Lembaga Perdagangan Thailand untuk meninjau potensi pelaburan dan peluang perdagangan di Sabah. – Bernama