Tinjau Projek Loji Penapis Minyak dan Petrokimia PMB

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Projek Loji Penapis Minyak dan Petrokimia serta Sistem Single Point Mooring (SPM) yang sedang dalam pembinaan di Pulau Muara Besar (PMB) menjadi tumpuan lawatan tinjauan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pandu dan Kerja Kemajuan PMB, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, di sini, lawatan tinjauan berkenaan diketuai oleh Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussien dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar yang juga selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Kemajuan PMB.

Ahli-ahli jawatankuasa lain yang hadir dalam lawatan berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Turut menyertai lawatan berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa kajian, jawatankuasa kerja teknikal, jawatankuasa kerja keselamatan dan kebajikan. Kenyataan menjelaskan bahawa lawatan itu memberikan tumpuan untuk menyaksikan sendiri perkembangan Projek Loji Penapis Minyak dan Petrokimia di PMB.

Menurut kenyataan itu lagi, pada masa ini, seramai 409 orang pekerja tempatan sedang bekerja secara langsung di bawah Hengyi Industries Sdn Bhd dengan 50 peratus daripada jumlah tenaga kerja keseluruhan loji itu diperuntukkan kepada pekerja Brunei apabila loji itu mula beroperasi

Hengyi Industries Sdn Bhd kini sedang menumpukan kerja-kerja pembinaan dan kerja-kerja pentauliahan di mana projek tersebut dijangka siap suku akhir tahun ini.

Rombongan menteri-menteri kabinet mengadakan lawatan dan diberikan penerangan semasa lawatan tinjauan ke Projek Loji Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pulau Muara Besar, kelmarin. – Gambar oleh Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian