Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Tinjau sesi pembelajaran UBD, UTB

    Gambar oleh Kementerian Pendidikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Sempena pembukaan semula kampus institusi-institusi pengajian tinggi dan pendidikan teknikal di bawah kawalan Kementerian Pendidikan pada Fasa Awal Endemik COVID-19, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman, berserta rombongan meneruskan lagi siri lawatan kerja ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) hari ini.

    Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, antara tujuan lawatan adalah untuk meninjau lebih dekat kemasukan pelajar-pelajar ke institusi-institusi pengajian khususnya semasa Fasa Awal Endemik COVID-19.

    Lawatan juga bertujuan untuk melihat secara langsung dan lebih dekat lagi kemudahan-kemudahan di institusi-institusi pengajian yang disediakan untuk pengawalan COVID-19 seperti ruang ujian saringan antigen (ART), bilik pengasingan diri dan penjarakan sosial di dalam bilik kuliah serta menyaksikan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran secara hibrid di kampus dan juga latihan praktikal di makmal yang dijalankan dengan mengikut garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah sediakan oleh pihak institusi.

    Ketibaan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah ke UBD telah dialu-alukan oleh Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dan pegawai serta kakitangan di universiti tersebut.

    Yang Berhormat Dato telah dibawa melawat kemudahan-kemudahan yang terdapat di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS) seperti makmal penyelidikan, dewan kuliah, bilik-bilik seminar dan lain-lain. Beliau juga berkesempatan menyaksikan beberapa sesi pengajaran dan latihan praktikal serta berpeluang untuk berinteraksi bersama pelajar-pelajar dan memberikan kata-kata motivasi kepada mereka.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan meninjau lebih dekat kemudahan yang disediakan di UTB.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyaksikan beberapa sesi pengajaran dan latihan praktikal di UBD.

    Seterusnya, Yang Berhormat Dato telah diberikan penerangan mengenai Structured Blended Learning dan menyaksikan demonstrasi pengajaran menggunakan kaedah tersebut sebelum dibawa meninjau kemudahan-kemudahan bagi pengawalan COVID-19 yang disediakan oleh pihak universiti.

    Rombongan meneruskan lawatan kerja ke UTB di mana Yang Berhormat Menteri Pendidikan dialu-alukan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Semasa lawatan, Yang Berhormat Dato diberikan penerangan mengenai protokol kemasukan serta garis panduan bagi pengawalan COVID-19 yang disediakan oleh UTB. Yang Berhormat Menteri Pendidikan kemudiannya dibawa melihat lebih dekat bilik pengasingan diri dan peralatan-peralatan di bilik tersebut serta garis panduan dan SOP jika berlakunya jangkitan positif COVID-19.

    Turut menjadi tumpuan semasa lawatan ialah sesi pengajaran dan pembelajaran hibrid di mana Yang Berhormat Menteri Pendidikan berpeluang menyaksikan kuliah yang sedang berlangsung secara fizikal dan dalam talian dan mengambil kesempatan untuk beramah mesra bersama pelajar-pelajar.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan mengakhiri lawatan dengan meninjau kemudahan makmal food science dan turut menyaksikan latihan praktikal sedang dijalankan. Lawatan kerja Yang Berhormat Menteri Pendidikan ke sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan telah diadakan sejak bulan Disember tahun lalu yang bertujuan untuk memantau persediaan institusi-institusi dalam memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara fizikal yang dijalankan secara berperingkat mengikut SOP yang telah disediakan.

    Antara yang turut menyertai rombongan lawatan tersebut ialah timbalan setiausaha tetap (pengajian tinggi), ketua jabatan pengajian tinggi dan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...