Tinjauan menteri ke ITQSHHB

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, semalam telah mengadakan lawatan kerja ke Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Lawatan dan tinjauan Yang Berhormat Pehin ke institut berkenaan adalah bagi mengetahui perancangan perkembangan institut terhadap persiapan, strategi dan sasaran institut dalam meningkatkan pencapaian dan kecemerlangan pelajar institut dalam pembelajaran.

Turut hadir menyertai lawatan Kerja tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, lawatan kerja Yang Berhormat Pehin dimulai dengan sesi bergambar ramai bersama tenaga akademik dan pentadbiran institut, diikuti dengan lawatan ke kelas-kelas pengajian iaitu Kelas Pengajian Al-Quran Pelajar (Musolla ITQSHHB), Bahasa Inggeris (Tahun 11A), Sains (Tahun 8L1), Fiqeh (Tahun 10BL), Diploma ‘Aliyah Qiraat ITQSHHB (Kuliah Qiraat Amali Tahun 3) dan Kelas Pengajian Diploma ‘Aliyah Qiraat ITQSHHB (Kuliah Bahasa Arab Tahun 2).

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika membuat tinjauan ke salah sebuah kelas di ITQSHHB.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika membuat tinjauan ke salah sebuah kelas di ITQSHHB.

Dalam kesempatan lawatan ke kelas-kelas pengajian, Yang Berhormat Pehin telah berkesempatan meninjau pembelajaran Qiraat & Hafazan Al-Quran, Sastera Bahasa Arab dalam Al-Quran dan juga Pengajian Fiqeh.

Lawatan kerja Yang Berhormat Pehin diteruskan dengan sesi taklimat dan perbincangan yang disampaikan oleh Pemangku Pengetua ITQSHHB), Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, di Bilik No.20, Blok Pengajian 2, institut berkenaan.

Di samping objektif utama bagi melahirkan Huffaz Al-Quran, Yang Berhormat Pehin dalam perbincangan dan sesi taklimat telah menyarankan agar institut berkenaan berserta dengan Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS mempelbagaikan usaha dan kaedah dalam menyalurkan kefahaman Al-Quran dan penyebarannya dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

Seterusnya bagi mencari peluang-peluang kerjasama bagi meningkatkan dan mengembangkan lagi bidang pengajian ilmu-ilmu Al-Quran dan Qiraat Al-Quran serta kefahamannya.