MUNGKIN ramai kalangan ibu bapa pening kepala dengan sikap anak kecil yang tidak mematuhi arahan. Seperti lepas bermain permainan tidak mahu kemas. Menyepahkan barangan dapur, conteng dinding dan sebagainya.
Jangan menganggap anak degil kerana itu tidak betul, namun mereka sebenarnya dalam proses pembelajaran. Tiada anak yang lahir menjadi degil. Anda juga tidak seharusnya terus menghukum mereka tanpa mendidik mereka terlebih dahulu.
Langkah yang dikongsikan ini mungkin sahaja boleh diaplikasi untuk membantu menjadikan anak anda lebih mematuhi arahan. Cara ini juga biasa diterapkan oleh orang-orang Barat dalam mendidik anak-anak kecil mereka.
Untuk pengetahuan anda, biasanya kanak-kanak seawal umur tiga tahun sudah boleh memahami percakapan dan menilai emosi. Kita ambil satu contoh, si anak suka bermain dan menyepahkan mainan tetapi tidak mahu mengemas semula. Jika keadaan itu terjadi, cuba cara ini:
1-Beritahu anak apa yang anda sentiasa pesan pada dia
Tanya semula ‘faham tak?’ (Kata kunci ‘faham tak’ penting sebagai tanda meminta anak itu memahami perilaku itu salah).
“Amna, kan umi dah pesan lepas main kena kemas balik. Faham tak?”

2-Gambarkan kesan yang akan terjadi kalau dia tidak patuh arahan yang diberi
Wujudkan rasa empati dalam diri anak-anak.
“Ini mainan bersepah ni kalau ayah atau ibu terpijak, jatuh macam mana? Sakit tau. Kesian ibu, kesian ayah. Tak kesian ibu dengan ayah ke? kalau berdarah macam mana? sayang ibu tak? sayang ayah tak?” (Mainkan emosi dengan mereka, anak seusia tiga tahun boleh menilai emosi sedih dan kasihankan ibu bapa mereka.
Atau wujudkan rasa sayang atau takut dalam diri anak.
“Ni kalau terpijak rosak mainan Hafizah. Nak mainan rosak?”
Kebanyakan anak-anak tidak mahu mainannya rosak.
3-Biarkan dia rasa apa yang ibu atau ayah dia rasa
Suruh anak kemas mainan yang disepahkannya dengan dibantu oleh anda. Bila sudah selesai, tanya penat ke tidak? Katakan padanya itulah yang ibu atau ayah rasa bila kena kemas mainan setiap kali anak sepahkannya.
“Farah penat tak? Ibu penat tau Farah sepah-sepah, kesian ibu penat? Main elok-elok jangan sepah tau. Lepas main buat apa?” (Kata kunci ‘lepas main buat apa?’ perlu untuk penekanan agar anak tahu lepas main apa perlu dibuat.)
4-Denda dan hukuman
Ini adalah langkah terakhir sekali yang perlu dilakukan. Macam biasa jika cara baik tidak berhasil, cara ini boleh diguna pakai. Tetapi perlulah berpadanan dengan usianya seperti tidak membenarkan anak bermain permainan lagi.
Jangan marah bila anak conteng dinding, ada tujuh manfaat ramai tidak tahu
Ramai tidak tahu kelebihan anak conteng dinding ini sebenarnya anak yang cerdas dan bijak. Ini buktinya:
1-Melatih kekuatan otot
Perasan tidak, apabila anak suka menulis di dinding, mereka akan berdiri, membongkok, melutut, duduk atau bercangkung. Semua posisi ini bukan sahaja menjadikan anak lebih cergas, tetapi ia dapat melatih kekuatan otot abdomen dan belakang berbanding apabila mereka hanya menulis pada kertas. Kekuatan pada pergelangan tangan juga akan berkembang selari dengan kawalan motor untuk menjadikan lebih mahir menulis dan memegang.
2-Koordinasi tangan dan mata
Dengan permukaan yang lebih luas, mereka cenderung untuk melukis pada skala yang lebih besar. Maka, keseluruhan anggota lengan, bahu, tangan dan mata akan bekerja dengan lebih keras.


3-Meningkatkan kreativiti
Menconteng dinding adalah salah satu tindakan mengekspresikan diri mereka seluas-luasnya. Berbanding pada kertas yang kecil, mereka akan berasa lebih bebas apabila melukis pada permukaan kanvas yang besar dan senang dilihat.
Mungkin ada yang main ‘cikgu-cikgu’, ada yang hasilkan lukisan imaginasi, membuat bentuk, ada yang mahu menulis huruf atau nombor.
Walau apapun yang mereka contengkan, mempamerkan hasil seni ini tentunya membuat mereka berasa lebih terdorong dan bersemangat untuk meneroka potensi diri.
4-Mengekspresi diri
Setiap anak kecil mempunyai cara tersendiri untuk menyatakan sesuatu yang terbuku dalam hati mereka, ada yang suka berbual, menyanyi, bercakap dengan anak patung atau mungkin ada yang suka melukis dan menconteng dinding.
Bagi setiap insan, amat penting mengekspresikan diri kerana ia adalah salah satu bentuk komunikasi untuk meluahkan perasaan. Selain itu, tindakan ini turut memberi rasa ‘selamat’ kepada si anak. Sekiranya dimarahi dan ditahan daripada melakukannya, anak ini akan rasa tidak didengari dan kurang yakin terhadap diri sendiri.
5-Praktis postur yang baik
Ada anak-anak yang tidak suka duduk di tempat yang dikhaskan seperti kerusi dan meja atau lantai apabila melukis dan menulis. Ini kerana, mereka berasa tidak selesa akibat postur yang tidak sesuai.
Sebaliknya, posisi menegak (upright position) pada dinding membantu anak-anak mengekalkan posisi kepala dan leher pada tahap yang sesuai secara automatik.
Menurut Bright Hub Education, perkembangan kemahiran visual (visual skill development) juga dapat ditingkatkan kerana mereka mudah melihat apa yang telah dilukis.
Maka, mereka lebih peka meneliti dan mengimbas perincian pada sesebuah objek.
6-Motivasi untuk belajar menulis
Bukan senang melihat anak menulis apabila kita menyuruh mereka berbuat demikian. Setiap kali memandang buku tulis, muka mereka pun mulalah monyok.
Konsentrasi mereka pun sebentar sahaja. Tetapi, apabila diberi peluang menulis pada dinding, mereka akan lebih bersemangat. Mengapa?
Sebab kebanyakan anak kecil suka bermain dan mengaitkan aktiviti menulis dengan ‘belajar’ atau sesuatu yang membosankan. Jadi, inilah peluang kita untuk memupuk minat menulis melalui aktiviti yang seronok!
7-Lebih daya tumpuan dan konsentrasi
Dengan permukaan yang luas, menegak dan betul-betul di hadapan mereka ini, konsentrasi akan lebih mudah tertumpu ke satah tersebut.
Jadi, tidak hairanlah teknik ini telah sekian lama digunakan untuk menggalakkan perkembangan anak-anak yang bermasalah dalam pembelajaran seperti ADHD atau autisme, seperti yang dinyatakan melalui ChildSupport.org. – Agensi