Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip membeli-belah di bazar Ramadan

    OLEH kerana bulan Ramadan datangnya setahun sekali, lokasi seperti bazar Ramadan menjadi tumpuan umum lapisan masyarakat, tidak kira orang Islam ataupun bukan Islam. Kedatangan mereka sekadar mendapatkan makanan yang beraneka jenis yang sebahagian darinya hanya dijual pada bulan Ramadan sahaja.

    Orang-orang Islam yang berpuasa datang ke bazar kerana mahu mendapatkan makanan berbuka puasa. Peniaga-peniaga pula sudah tentu melihat inilah masanya mereka mendapat keuntungan bermusim sepanjang bulan Ramadan.

    Jika mahu melihat gelagat sikap, mimik muka, senyuman bibir, cara berjalan, cara berpakaian dan cara memilih makanan, cari dan lihatlah di Bazar Ramadan.

    Namun begitu, sikap keterujaan yang membuak-buak untuk memenuhi kehendak berbuka, boleh menyebabkan mudarat kepada diri sendiri, sama ada dari segi kewangan dan kesihatan. Di sini, dikongsikan beberapa tips membeli-belah ketika berada di bazar Ramadan:

    1. Fikirkan menu sebelum ke Bazar Ramadan

    Sebelum anda keluar ke bazar, fikirkan menu yang anda mahu makan untuk berbuka. Cara ini membantu anda untuk fokus ketika membeli.

    Sebelum anda keluar ke bazar Ramadan, fikirkan menu yang anda mahu makan untuk berbuka. Cara ini membantu anda untuk fokus ketika membeli. – Gambar hiasan

    2. Sediakan senarai makanan yang hendak dibeli

    Cara ini dapat membantu kita merancang juadah berbuka puasa, di samping mengelakkan diri daripada membeli makanan yang tidak diperlukan serta membuat pilihan yang sihat dan tepat.

    3. Tetapkan bajet pembelian setiap hari atau bawa duit cukup-cukup sahaja

    Cara ini dapat mengelakkan kita daripada dipengaruhi nafsu lapar yang menjurus ke arah ‘terlebih beli’.

    4. Beli dua hingga tiga juadah sahaja

    Beli satu juadah berat dan dua juadah ringan untuk berbuka. Juadah ringan boleh simpan untuk moreh. Dengan cara ini anda boleh menikmati menu yang berbeza setiap hari.

    Jika teringin untuk membeli lebih dari tiga juadah, ingatkan diri sendiri bahawa ‘esok masih ada’. Puasa ada 30 hari, jadi ada 30 pilihan menu untuk dicuba. Bersabar dan bertabahlah.

    5. Beli makanan yang sihat dan berkhasiat

    Kurangkan makanan berminyak, berlemak, tinggi kandungan gula dan garam. Ini kerana makanan mempengaruhi tahap kesihatan kita.

    6. Beli daripada penjual yang mengamalkan kebersihan

    Pilih gerai yang bersih dan makanan bertutup. Makanan yang bersih dapat menghindarkan diri daripada penyakit.

    7. Catatkan pembelian

    Catat dalam buku kecil berapa yang telah anda belanja setiap hari di bazar. Ini bagi memastikan kita tahu tahap atau jumlah pengeluaran duit semasa di bazar.

    Jom kita mulakan langkah pertama dengan berbelanja secara berhemah. Duit lebih itu nanti boleh digunakan untuk derma pada surau atau perbelanjaan untuk Hari Raya nanti. Ingat, banyakkan ibadat, kurangkan pembaziran dan dosa. Bijak berbelanja mulai hari ini, Insya-Allah tak adalah poket kering-kontang lepas raya nanti. Semoga panduan di atas dapat memberi manfaat kepada kita semua. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda