“KENAPA kulit Syafiq merah-merah ni? Kasihannya… Mungkin akibat peluh atau sebab cara mencuci pakaian anak damit yang tak betul. Itulah, ayahnya campurkan saja semua dalam mesin basuh.”
Kulit anak damit yang baru lahir memang amat sensitif. Malah, selepas beberapa bulan pun mereka masih mudah terdedah kepada jangkitan dan habuk persekitaran.
Oleh itu, setiap langkah pengurusan anak damit daripada pengendalian makanan, pakaian dan aktiviti hariannya perlu diselia dengan cermat.
Salah satu perkara yang kita perlu titikberatkan adalah cara mencuci pakaian anak damit. Melalui cara yang betul, ruam, alergi atau masalah kulit dapat diminimakan. Ia juga menghindari anak damit daripada terdedah kepada masalah kesihatan yang lain yang berkaitan.
Lima cara mencuci pakaian anak damit yang betul
Berikut adalah lima tip yang perlu anda praktikkan dalam cara mencuci pakaian anak damit:
1-Elak guna sabun berbau kuat
Sebagai orang dewasa, kita memang suka pakaian yang berbau wangi. Lebih wangi, lebih bagus, bukan?
Tapi bagi anak damit pula lain halnya. Sabun yang berbau kuat ini biasanya mengandungi bahan kimia tidak serasi dengan kulit sensitif. Oleh itu, rendamkan pakaian anak damit dalam sabun pencuci khusus yang dicampur bersama air suam. Biasanya sabun anak damit ini tidak terlalu harum.
Tidak perlu menggunakan cecair antiseptik melainkan jika telah mendapat arahan doktor. Ini kerana, larutan antiseptik juga ada mengandungi bahan kimia tertentu yang tidak diketahui kesesuaiannya dengan kulit anak damit.
2-Asingkan daripada pakaian anda
Jangan campurkan pakaian anda atau orang dewasa untuk dicuci atau direndam bersama pakaian anak damit. Pakaian kita mungkin mengandungi kotoran yang boleh berpindah kepada pakaian anak damit, lalu menjadi punca alergi atau ruam.
Maka, sediakan sebuah bakul khusus untuk anda meletak pakaian kotor anak damit selepas dipakai.
3-Cuci pakaian yang baru dibeli
Walaupun pakaian yang baru dibeli nampak begitu bersih dan wangi, jangan lupa mencucinya terlebih dahulu sebelum dipakai.
Pakaian tersebut sebenarnya telah melalui proses bertukar tangan yang panjang dari pembuatannya di kilang, pemborong dan seterusnya ke kedai-kedai pengedar.
Di kedai atau pasar raya pun, ramai yang telah memegangnya. Jadi, lebih selamat jika anda mencuci pakaian tersebut agar lebih terjamin kebersihannya.
4-Jemur di bawah matahari
Kuasa sinaran matahari dapat melindungi pakaian daripada bakteria. Jadi, seeloknya elakkan menjemur pakaian anak damit di dalam rumah atau di tempat yang tertutup.
Kalau rajin, anda juga boleh menggosok pakaian menggunakan seterika. Menurut The Health Site, tindakan ini boleh membantu menjamin kebersihan pakaian anak damit kerana kepanasan daripada seterika dapat meminimakan bakteria pada pakaian.
5-Simpan dalam tempat bertutup
Pakaian yang telah dicuci dan dilipat sebaiknya disimpan dalam almari atau bakul yang bertutup. Tapi jangan risau, sekiranya anda hanya mempunyai jenis yang terbuka, anda boleh menutupnya dengan sehelai napkin atau lampin.
Mudah bukan?
Tidak sukar sebenarnya untuk mengamalkan cara mencuci pakaian anak damit yang betul. Dengan langkah ini, anda dapat meminimakan risiko jangkitan atau alahan kepada anak damit.
Walaupun mungkin agak leceh berbanding biasa, tetapi tentunya ia lebih selamat demi menjamin kesihatan anak damit anda. – Agensi