Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip pikat pelanggan

    TANPA pelanggan, perniagaan tidak mempunyai erti.

    Oleh itu usahawan mesti pandai memikat pelanggan agar mereka selesa berurusan dan sentiasa datang kembali pada perniagaan kita.

    Apa sahaja perniagaan yang kita jalankan, cara memikat pelanggan yang terbaik mestilah dicari dan diperbaiki selalu agar kita sentiasa berada di depan dan menjadi perniagaan pilihan pelanggan.

    Perlu diingat bahawa memikat pelanggan tidak sama dengan menarik perhatian pelanggan. Proses memikat pelanggan hanya berlaku setelah berjaya menarik perhatian mereka untuk datang.

    Rangka proses memikat pelanggan

    Walau apa saja perniagaan yang sedang dijalankan sekarang, pastikan anda buat satu carta aliran.

    Untuk mencapai tahap yang terbaik dalam proses memikat pelanggan, anda mesti sentiasa sabar dan sanggup mendengar. Jangan jadi tauke yang panas baran yang hanya suka dengar pujian tetapi bertukar menjadi raksaksa apabila dikritik. – Gambar hiasan

    Carta yang mempamerkan proses bermula daripada kedatangan pelanggan yang telah berjaya anda tarik perhatiannya, masuk ke premis perniagaan anda, merasai pengalaman berada di dalam premis dan berakhir dengan pelanggan tersebut keluar semula dari premis perniagaan.

    Apa yang kita sasarkan adalah supaya pelanggan keluar untuk balik sambil membawa hasil belian daripada premis perniagaan kita dan sudah pastinya kita bayangkan dia tersenyum kepuasan. Kalau boleh, pelanggan itu akan rasa tidak sabar untuk menceritakannya pula kepada setiap orang lain yang ditemuinya.

    Cuba bayangkan jika anda berjaya melakukan perkara seperti yang disebutkan di atas tadi, sudah pasti perniagaan anda tidak memerlukan belanja yang banyak untuk membuat aktiviti pemasaran.

    Kecekapan anda memuaskan hati pelanggan akan membuatkan setiap pelanggan yang keluar dari premis perniagaan anda bertukar menjadi ejen pemasaran kepada perniagaan secara percuma dan berkesan.

    Tidak ada ejen jualan yang lebih handal selain daripada mereka merupakan pelanggan anda sendiri. Kita semua tentu sedar betapa selama ini cadangan daripada kawan atau keluarga terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan menjadi salah satu penentu utama dalam membuat keputusan pembelian.

    Tip asas memikat pelanggan

    Merangka idea untuk memikat hati pelanggan mestilah bersesuaian dengan perniagaan yang anda jalankan dan hanya anda sendiri yang tahu prosesnya secara terperinci.

    Dalam merangka proses memikat pelanggan pastikan anda memikirkan beberapa idea asas yang boleh diguna pakai di bawah:

    1-Jadikan perniagaan anda mudah dan selesa

    Sentiasa fikirkan bagaimana dapat dilaksanakan agar perniagaan anda sentiasa ringkas, mudah dan memudahkan serta selesa kepada semua pelanggan.

    Jangan sampai pelanggan merasa sukar untuk berurusan dengan perniagaan, jangan pula biarkan pelanggan rasa susah nak masuk ke premis dan jangan biarkan pelanggan rasa sukar untuk bergerak di premis perniagaan anda.

    Jika kita jalankan perniagaan dalam talian pula, perkara sama perlu difikirkan. Jangan biarkan pelanggan termangu-mangu lima minit hanya untuk memahami apa yang anda jual dan cuba mencari alasan kenapa dia perlu beli daripada anda.

    Jadikan semua proses mudah, ringkas dan selesa. Lagi pendek sesuatu proses itu dalam mencapai matlamat, lebih baik.

    2-Sabar dan sentiasa sanggup mendengar

    Untuk mencapai tahap yang terbaik dalam menyediakan proses memikat pelanggan, anda mesti sentiasa sabar dan sanggup mendengar. Jangan jadi tauke yang panas baran yang hanya suka dengar pujian tetapi bertukar menjadi raksaksa apabila dikritik.

    Pastikan juga anda mendengar dua kali banyak daripada bercakap. Jangan bercakap tak berhenti tanpa memberi peluang pada pelanggan membuka mulut untuk bersuara. Tindakan begitu, yang biasanya kita sangka pelanggan suka sebenarnya membuatkan dia mahu segera beredar dan tamatkan perbualan dengan anda.

    3-Jangan berlebihan sehingga lari daripada nilai utama perniagaan

    Semua perniagaan mesti ada nilai-nilai utama yang mahu diberikan pada pelanggan. Jika kita jalankan perniagaan kedai makan, ada berbagai nilai berbeza yang boleh diterapkan.

    Peniaga restoran boleh janjikan pada pelanggan mereka sedap, mungkin juga santai atau mungkin pantas atau mungkin keriangan keluarga atau mungkin perhubungan kawan-kawan. Itu semua adalah konsep atau nilai yang anda mahu serapkan pada perniagaan restoran anda.

    Jika kita sudah tetapkan nilai yang mahu ditonjolkan, maka semua idea untuk menjayakan perkara tersebut mestilah selari dengan nilai utama tersebut. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda