TIDAK dinafikan, cabaran ekonomi semasa kian terasa. Semakin ramai yang berjimat cermat dan mula bercakap-cakap tentang mengurangkan kos, membuat simpanan dan lokasi belian barang murah.
Namun begitu, usaha untuk menambah pendapatan usah dipandang remeh.
Jauh dalam sudut hati seorang suri rumah, sebenarnya tersimpan segala macam perasaan ingin membantu menambah pendapatan keluarga. Cuma mungkin mereka masih tidak nampak jalan atau caranya.
Berikut dikongsikan beberapa tip buat suri rumah yang memilih bahagia dengan usaha:
1. Menjadi penulis dari rumah
Ramai yang suka menulis. Bakat menulis dalam kalangan ibu-ibu tidak kurang hebatnya. Pelbagai kisah dikongsikan di laman sosial kadang-kadang menjadi tular tanpa dipinta. Berkongsi tip kehidupan, tip masakan, tip menabung dan sebagainya yang boleh menjadi inspirasi kepada ramai pembaca. Tawarkan khidmat menulis dan bakat yang ada kepada orang yang ingin menulis tetapi tidak pandai menyusun ayat. Tulis novel atau buku motivasi yang boleh diterbitkan semula dengan mana-mana penerbit.

2. Ambil upah belian barang dapur
Kita sendiri biasanya akan ke kedai atau pasar untuk membuat belian keperluan rumah. Alang-alang sudah ke kedai, tanyakan sahaja jiran-jiran siapa yang mahu kirim barang.
Ambil upah setiap kali membuat belian untuk orang lain. Mungkin ada jiran yang sudah tua, sakit dan tidak boleh meninggalkan rumah. Sekarang tidak ada benda yang percuma, sudah namanya pun ambil upah beli barang. Sebagai contoh upahnya 10 peratus daripada jumlah belian barang.
3. Ambil upah membasuh baju
Di rumah kita ada mesin basuh automatik, mahu atau tidak setiap hari kita tetap membasuh juga. Tawarkan khidmat membasuh baju untuk jiran atau kenalan yang tinggal berhampiran kita.
Caj pada harga yang berpatutan, sebagai contoh upahnya $1 sekilo siap lipat. Sasarannya adalah budak bujang yang malas basuh baju. Silap haribulan, rumah jadi kedai dobi!
4. Berkebun, tanam dan jual semula
Suri rumah kebanyakannya mengisi masa terluang dengan berkebun. Penuh halaman rumah (depan sampai belakang) dengan bermacam jenis pokok bunga, pokok herba dan sayur-sayuran. Jadikan ini sebagai hobi yang menguntungkan, tanam pokok yang mempunyai harga dan boleh dijual semua. Letakkan dalam pasu yang cantik, susun di luar rumah dengan papan tanda, ‘Semua ini untuk dijual’.
5. Mengedarkan produk kosmetik
Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Paling tidak pun, wanita akan pakai bedak sejuk untuk jaga kecantikan kulit muka. Sebagai suri rumah yang pandai menjaga penampilan, cari peluang untuk mengedarkan pelbagai jenis produk kosmetik yang ada dalam pasaran. Carilah produk yang boleh berikan untung jualan runcit yang tinggi bagi setiap barang.
6. Jagaan harian untuk anak-anak jiran
Ini sesuai untuk suri rumah yang masih punya banyak tenaga dan suka melayan karenah anak-anak. Buka mulut dan sebarkan kepada jiran dan kenalan yang tinggal berhampiran bahawa kita mengambil upah menjaga anak-anak sehingga petang.
Suri rumah yang boleh memandu, boleh ambil upah jemput anak-anak dari sekolah dan bawa ke rumah kita untuk transit. Jangan ambil terlalu ramai, cukuplah sekadar yang kita mampu menjaga dan mengawasi.
Kepada sang suami, usah menyekat minat dan usaha isteri untuk membantu kita menambah pendapatan keluarga. Berilah ruang kepada mereka untuk beraktiviti, ini juga bagus untuk pasangan anda menghilangkan stres dan kurang tekanan. Sokong dan dukung usaha mereka setiap masa. Asalkan kerja ini halal, apa salahnya? – Agensi