Tips berguna buat para pemancing baharu

Oleh Raz AS

Seorang pemancing tidak kiralah yang baharu mahupun yang lama, tidak seharusnya berhenti daripada menimba ilmu.

Bagi pemancing baharu hindarkan diri daripada perasaan malu bertanya, manakala pemancing lama pula harus membuangkan perasaan ego kerana semakin banyak yang kita pelajari semakin tinggi peluang kita untuk berjaya di arena memancing ini. Di sini penulis kongsikan sedikit tip yang penulis dapat bagi faedah kita bersama;

Berhati-hati membeli peralatan online

Di era digital ini, semakin ramai pemancing termasuk penulis sendiri lebih suka membeli peralatan pancing seperti joran, reel dan sebagainya melalui kaedah online berbanding mendapatkannya di kedai-kedai pancing tempatan. Kebaikannya, kita akan mempunyai lebih banyak pilihan.

Namun membeli secara online juga mempunyai keburukannya yang tersendiri, kita hanya dapat bergantung kepada review pembeli-pembeli lain tanpa dapat melihat dan meneliti sendiri produk yang ingin kita beli itu dengan mata kepala sendiri.

Kadang-kadang kalau nasib kurang baik, peralatan yang sampai ke tangan kita terdapat cacat celanya, meskipun kebanyakan penjual online bersedia untuk menggantikannya dengan yang baharu tetapi ia akan memakan masa, tenaga mahupun wang ringgit bagi kos penghantaran kembali.

Oleh yang demikian berhati-hati dengan review, periksa berapa ramai yang berpuas hati dengan produk tersebut berbanding yang tidak berpuas hati.

Ketahui apa kata orang ramai mengenainya dan semak spesifikasi peralatan tersebut kerana setiap pemancing mempunyai cita rasa tersendiri dan teknik serta kaedah memancing masing-masing yang digunakan bersama peralatan tersebut adalah berbeza-beza.

Jika anda ingin menangkap tangkapan yang berkualiti tiada umpan yang lebih baik berbanding menggunakan umpan hidup seperti udang hidup. – Agensi
Membeli secara online juga mempunyai keburukannya yang tersendiri, kita hanya dapat bergantung kepada review pembeli-pembeli lain tanpa dapat melihat dan meneliti sendiri produk yang ingin dibeli.

Mahal tidak bermakna lebih bagus

Kita tidak perlu berbelanja mahal untuk memancing, cukup menggunakan tali, batu dan mata kail kita sudah dapat pergi memancing dan memperoleh ikan. Namun sudah menjadi sebahagian daripada DNA kebanyakan pemancing untuk mempunyai set peralatan pancing yang berjenama gah.

Hobi ini tidak sepatutnya mahal, sesuaikan situasi kewangan kita dengan peralatan yang ingin kita beli, lebih penting lagi pastikan peralatan tersebut dilindungi oleh ‘warranty’. Jika jenama-jenama yang kurang terkenal menyediakan ‘warranty’ bagi jangka waktu yang lama awda mungkin mahu cuba untuk melihat produk-produk yang ditawarkan mereka.

Peralatan pancing berjenama yang mahal tidak semestinya 100 peratus lebih baik daripada yang kurang berjenama. Kadang-kadang pelbagai produk pancing yang ada di pasaran adalah lebih disasarkan untuk ‘memancing’ si pemancing bukannya ikan. Ikan tidak tahu berapa mahal lure atau tali yang kita gunakan, oleh itu janganlah terperangkap dengan permainan jenama dan harga.

Jangan terburu-buru

Ketika berada di padang pancing jangan terburu-buru untuk melabuhkan umpan. Perhatikan kawasan dan keadaan sekeliling terutama daripada faktor keselamatan, itulah yang paling penting. Jangan alpa hendak memancing sampai kehadiran haiwan buas atau berbisa berdekatan dengan kita pun tidak disedari.

Kemudian perhatikanlah tempat-tempat yang difikirkan berpotensi menjadi tempat ikan bersembunyi. Jika awda memancing di kawasan pantai, jika boleh perhatikan kawasan tersebut dari tempat tinggi atau menggunakan teropong. Pecahan ombak boleh menjadi indikasi tempat yang cetek. Jangan lupa untuk memerhatikan kawasan berdekatan kerana ikan besar tidak semestinya berada jauh dari tebing terutama apabila anak-anak ikan banyak berdekatan.

Kecilkan saiz mata kail, tali

Jika ikan lambat menjamah umpan, gunakan mata kail dan tali yang lebih kecil. Mata kail yang kecil lebih mudah disembunyikan dan mudah tertancap pada mulut ikan berbanding mata kail besar. Tali yang halus juga lebih susah untuk dilihat oleh ikan. Namun begitu perlu difahami risiko sekiranya ikan besar tiba-tiba menyambar umpan, oleh demikian pemancing harus sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pertarungan hebat setiap waktu.

Umpan hidup dan segar adalah lebih baik

Bagi umpan konvensional ikan lebih suka memakan umpan hidup, jika awda ingin menangkap tangkapan yang berkualiti tiada umpan yang lebih baik berbanding menggunakan umpan hidup. Namun sekiranya ketiadaan umpan hidup pastikan umpan yang digunakan adalah segar, bukan yang sudah busuk atau lama tersimpan dalam peti sejuk, awda mungkin tidak nampak sebarang perbezaan namun ikan tahu membezakannya.

Sesuaikan saiz umpan dengan ikan yang hendak dipancing. Gunakan umpan kecil untuk menjerat ikan kecil atau bermulut kecil dan umpan besar untuk menjerat ikan besar. Meski umpan kecil juga mampu memikat ikan besar akan tetapi jika kualiti saiz yang awda cari bukannya kuantiti bak pepatah orang putih lebih baik ‘match the hatch’.

Jangan terus potong tali

Tiang-tiang jeti dan jambatan selalunya dihuni oleh ikan-ikan besar. Namun kehadiran teritip atau ‘kapang’ pada bahagian tiang-tiang tersebut akan mampu memutuskan tali mahal awda dalam beberapa saat sahaja apabila ikan cuba menyembunyikan diri selepas tertancap mata kail.

Selalunya drag akan diset keras untuk menghalang ikan daripada masuk ke zon bahaya tersebut. Salah satu cara lain untuk menghindari tali terputus adalah untuk menggunakan tali yang lebih tebal.

Risiko tali putus memang tidak dapat dihindari 100 peratus tetapi sekiranya ikan berjaya bersembunyi ke celah-celah struktur, jangan cepat berputus asa dan terus menarik tali agar ia terputus atau memotongnya. Tunggulah seketika selama beberapa minit dan biarkan tali sentiasa tegang, tidak terlalu kencang, kerana kadang-kadang ikan akan keluar semula.

Pelajari informasi ikan

Pelajarilah informasi mengenai ikan-ikan buruan awda, tidak kiralah daripada buku atau internet, terutama mengenai habitat, sifat, diet dan tabiatnya secara mendalam. Dengan mengenali dan mengetahui informasi penting mengenai ikan-ikan tersebut akan memudahkan awda untuk memburunya.

Juga adalah penting untuk mengetahui mengenai anatomi ikan-ikan tersebut kerana sesetengah ikan mempunyai duri atau gigi tajam yang boleh memutuskan tali dan menyebabkan kecederaan. Tidak kurang juga ada yang mempunyai bisa yang boleh menyebabkan badan awda sejuk-sejuk dingin atau lebih teruk lagi memerlukan rawatan segera.

Hindari memakan ikan yang awda tidak ketahui spesiesnya. Sesetengah ikan terutama ikan palegik dan spesies terumbu mempunyai kandungan toksin tinggi memudaratkan kesihatan jika dimakan, bahkan menyebabkan kematian.

Ketahui carta pasang surut

Ketahuilah carta pasang surut perairan tempat awda memancing terutama jika menggunakan bot. Air pasang surut boleh menjadi faktor yang akan mempengaruhi di mana ikan berada. Jika air surut besar waspada dengan kawasan-kawasan yang ingin dilalui demi keselamatan awda sendiri. Perahu terdampar di kawasan cetek adalah satu hal yang memeningkan kepala, perahu karam akibat terlanggar struktur keras di dasar adalah sesuatu yang kita semua perlu hindari.

Bebas daripada bau-bauan

Pastikan tangan awda bebas daripada bau-bauan seperti bau petrol, losyen sunscreen, penghalau nyamuk dan lain-lain bauan boleh dihidu oleh ikan dan tidak berminat dengan umpan disaji.