Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Tips memilih joran pancing terbaik

    Oleh Raz AS

    Joran adalah peralatan pancing yang penting untuk membantu pemancing melabuhkan umpan ke sasaran dengan tepat, jauh dan untuk menewaskan ikan. Walau bagaimanapun hakikatnya tidak semua joran adalah sama, bukan sahaja berbeza dari segi panjangnya, materialnya, gayanya bahkan juga kesesuaian teknik digunakan bersama joran tersebut.

    Oleh itu ia sedikit sebanyak menimbulkan persoalan di kalangan pemancing terutama dalam kalangan peman-cing baharu. Hendak dapatkan joran yang macam mana? Berapa panjang joran yang sesuai digunakan? Adakah joran mahal lebih baik? merupakan antara persoalan yang seringkali ditanyakan kepada penulis oleh rakan-rakan. Malah ketika masih baru berkecimpung dahulu penulis sendiri pening kepala dalam membuat pilihan.

    Disebabkan joran merupakan komponen pancing termahal selain daripada reel, ia selalu membuatkan kita berfikir panjang sebelum membuat pembelian. Memilih joran yang sesuai dan bagus boleh menjadi pengalaman yang membingungkan terutama bagi mereka yang mahu wang yang dibelanjakan terasa sangat berbaloi dan tidak timbul rasa menyesal di kemudian hari. Dengan banyaknya pilihan joran di pasaran, mudah untuk kita mencari joran yang bagus dan sesuai kemahuan serta kegunaan kita. Namun pada masa yang sama, berkemungkinan juga kita akhirnya akan membelanjakan wang ke atas joran yang kita sendiri ‘inda tepakai’.

    Dalam hal ini, tanda harga bukanlah penentu. Apalah guna joran mahal jika kita tidak suka menggunakannya. Bahkan joran murah juga boleh menjadi ‘mahal’ sekiranya ia ‘ampai-ampai’ sahaja di rumah, kerana ia satu pembaziran. Tidak kiralah berapa harga joran yang kita beli sekiranya kita selalu menggunakannya setiap kali kita turun memancing, dan kita suka menggunakannya itulah perbelanjaan yang sangat berbaloi.

    Secara amnya semakin mahal joran tersebut, semakin sensitif dan responsiflah ia. Namun tidak semestinya bermakna ia akan lebih tahan lasak. Joran yang tahan lasak selalunya lebih berat dan kurang sensitif, sesuatu yang berlawanan dengan apa yang dimahukan oleh pemancing-pemancing serius yang menginginkan joran ringan dan sensitif, agar tangan tidak mudah terasa lenguh dan getuan lembut ikan dapat dikesan.

    Joran yang bagus tidak akan menjadikan seseorang itu pemancing yang lebih baik secara automatik, akan tetapi joran yang sebaliknya pula boleh menjadi faktor yang mengehadkan pemancing mengasah kemahirannya untuk menjadi lebih baik. Antara kemahiran yang harus diasah oleh pemancing adalah kemahiran untuk meletakkan umpan tepat ke sasaran. Joran yang bagus dapat meningkatkan kemahiran lontaran pemancing kerana ia diperbuat daripada bahan graphite yang lebih responsif dan dibuat dengan kejuruteraan yang lebih baik. Kepakaran tinggi membuat joran serta bahan material terbaik yang digunakan menjadi faktor kenapa sesuatu joran itu mempunyai tanda harga yang jauh lebih mahal.

    Semasa kita membuat pilihan joran untuk dibeli beberapa istilah digunakan untuk memberi info kepada pemancing seperti mengenai material joran tersebut diperbuat, bagaimana ia melentur, kekuatannya dan lain-lain.

    Joran adalah peralatan pancing yang penting untuk membantu pemancing melabuhkan umpan ke sasaran dengan tepat, jauh dan untuk menewaskan ikan.-Gambar oleh Raz AS

    Material

    Kebanyakan joran diperbuat daripada bahan graphite atau fiberglass. Secara umumnya joran yang diperbuat daripada graphite menjadi pilihan ramai pemancing kerana ia lebih sensitif dalam mengesan getuan ikan. Akan tetapi ia lebih mudah patah berbanding joran lain. Joran yang diperbuat daripada fiberglass pula lebih tahan lasak namun sedikit lebih berat. Ada juga joran yang diperbuat daripada gabungan keduanya.

    Selain itu terdapat juga pengilang yang memberi kod seperti IM6, IM7 dan sebagainya. Kod ini membawa maksud kualiti material yang digunakan untuk membuat joran tersebut. Contohnya IM7 diperbuat daripada graphite yang lebih berkualiti daripada IM6, akan tetapi ia bukanlah mewakili standard industri tetapi hanya bagi sesuatu pengilang tersebut. Ini bermakna IM7 dari satu pengilang tidak semestinya lebih baik daripada IM6 daripada pengilang lain kerana bahan yang digunakan adalah berbeza antara pengilang-pengilang.

    Sesetengah pengilang memberikan kod seperti 22T, 24T dan lain-lain. T di sini bermaksud Tonnage, yang digunakan dalam penilaian graphite. Semakin tinggi nombornya semakin karau bahan graphite yang digunakan dan semakin banyak gegaran yang dapat dirasa melalui joran tersebut. Ini juga bermakna semakin kurang material lain yang digunakan untuk mencapai aksi yang sama, menjadikan joran tersebut lebih ringan dan lebih sensitif. Walau bagaimanapun, tidak semestinya bermaksud ia lebih baik. Semakin karau graphite yang digunakan semakin rapuhlah ia kerana ia memerlukan resin dan teknik pembuatan khusus untuk mengekalkan ketahanannya.

    Aksi

    Aksi joran merujuk kepada lenturan joran. Bagi joran yang mempunyai aksi perlahan ia akan melentur bermula dekat dengan bahagian pemegangnya, kadang-kadang aksi ini lebih dikenali sebagai ‘parabolik’. Manakala joran yang mempunyai aksi laju pula lenturan akan berlaku pada bahagian 1/3 hujung joran.

    Joran yang mempunyai aksi yang lebih laju mempunyai sensitiviti yang lebih baik dan lebih pantas untuk membuat hookset. Ini kerana pemancing tidak perlu menggerakkan joran dengan banyak ketika membuat hookset untuk sampai ke bahagian karaunya. Joran aksi laju juga sesuai digunakan untuk lontaran dekat dan jauh bagi penggunaan mata kail tunggal.

    Aksi sederhana dan sederhana laju pula memberikan sedikit kejauhan lontaran dan kekuatan hookset yang mencukupi. Joran aksi ini sesuai digunakan bersama mata kail treble, di mana mata kail jenis ini lebih senang terlucut kerana tidak masuk tembus sedalam mata kail tunggal. Manakala aksi perlahan pula tidak akan menyebabkan umpan tertarik keluar dari mulut ikan sebelum ia ditelan sepenuhnya. Oleh itu teknik dan umpan yang digunakan menjadi faktor dalam pemilihan aksi joran yang patut awda gunakan.

    Kekuatan

    Kekuatan atau power bagi sesuatu joran itu merujuk kepada seberapa kuat beban yang diperlukan untuk membuatkan joran tersebut melentur. Daripada ultra-ringan (UL), ringan (L), sederhana ringan (ML), sederhana (M), sederhana berat (MH) sehinggalah ke sangat berat, kadar kekuatan joran berlainan daripada satu sama yang lain. Contohnya joran bass atau joran casting yang selalu digunakan ramai pemancing yang berkekuatan MH, sama sekali tidak akan sama dengan joran MH laut dalam.

    Walau bagaimanapun apa yang penting adalah untuk menggunakan tali yang berkekuatan dalam lingkungan seperti yang dilabel pada sesuatu joran tersebut. Joran yang mempunyai kekuatan tinggi akan mudah memutuskan tali yang ringan, manakala sebaliknya tali yang berat boleh mematahkan joran yang ringan. Sesuaikan keadaan padang pancing dengan kekuatan joran, kawasan yang mempunyai heavy cover akan memerlukan joran yang berkekuatan tinggi untuk menarik ikan keluar dari persembunyiannya. Begitu juga dengan berat lure yang disyorkan, elakkan melontar batu ladung atau lure yang lebih berat daripada apa yang tertera. Ia boleh mengakibatkan hujung joran patah kerana tidak mampu menampung sentapan kuat menggejut ketika melontar.

    Panjang

    Daripada yang panjang 3 kaki hinggalah ke 20 kaki, perlulah diambil kira keperluan kita. Jika kita memerlukan lontaran yang lebih jauh, contohnya bagi pancingan pantai joran panjang sekurang-kurangnya 10 kaki ke atas lebih sesuai. Manakala jika menggunakan bot pula 5-6 kaki sangat memadai kerana ketepatan lontarannya.Walaupun begitu, bagi pemancing baharu atau mereka yang menginginkan joran serba guna, joran panjang 6-7 kaki dengan kekuatan sederhana atau sederhana berat merupakan pilihan terbaik. Ia boleh digunakan di sungai atau muara untuk pelbagai spesies dan sesuai digunakan dengan pelbagai teknik.

    Pemegang

    Kebanyakan pemegang joran diperbuat daripada bahan gabus atau EVA untuk keselesaan dan tidak licin dalam genggaman. Pemegang joran direka dengan panjang yang berlainan, pemegang yang panjang lebih sesuai untuk lontaran jauh yang buat dengan kedua belah tangan, manakala pemegang pendek pula lebih sesuai untuk lontaran dekat dan cepat.

    Selain itu pemegang joran juga boleh didapati dalam bentuk split grip yang ringan dan selesa untuk melakukan lontaran berulang-ulang dan pistol grip untuk lontaran yang tangkas dan tepat, namun begitu salah satu kelemahan pistol grip adalah ia memberi tekanan yang berat terhadap pergelangan tangan pemancing ketika melawan ikan besar dan joran boleh saja terlepas dari genggaman ketika menahan asakan ikan.

    Reel seat

    Reel seat joran datang mengikut jenis joran, sama ada awda membeli joran untuk kaedah spinning, baitcaster, fly atau multiplier yang pastinya sesuaikan saiz reel awda dengan reel seatnya, pastikan ia tidak longgar dan muat bagi mengelakkan ia terlepas dari tempatnya. Kebanyakan pemancing lebih suka menggunakan joran yang mempunyai reel seat yang mendedahkan sedikit batang joran di dalamnya. Dengan itu ia akan meningkatkan kesensitifan joran tersebut kerana gegaran akan terus terasa ke jari pemancing.

    Jangan menggunakan reel spinning dengan joran baitcaster atau multiplier dan sebaliknya. Ini kerana joran spinning dan baitcaster mempunyai kedudukan tulang belakang yang berlainan. Lenturan yang berlawanan dengan tulang belakang sesuatu joran itu boleh mengakibatkannya patah.

    Ring

    Kebanyakan ring diperbuat daripada plastik, besi atau seramik. Ring yang diperbuat daripada seramik selalunya lebih ringan dan tahan untuk digunakan bersama tali braided berbanding guide yang diperbuat daripada bahan lain, namun begitu ia selalunya didapati dipasangkan pada joran yang berharga mahal.

    Ring yang terdapat pada joran juga menjadi faktor yang penting kepada kelancaran tali keluar untuk ketepatan lontaran yang dilakukan. Bahkan ia juga memainkan peranan yang penting kepada persembahan keseluruhan joran tersebut ketika melawan ikan. Semakin banyak jumlah ring yang ada pada sesuatu joran itu, lebih seimbang lenturannya dan lebih tepat lontaran yang boleh dilakukan.

    Kod

    Akhir sekali tahukah awda nombor kod yang tertera pada batang joran merupakan informasi mengenai joran tersebut, dan sangat berguna sekiranya tidak ada tulisan panjang lebar tertera di atasnya untuk dirujuk pemancing? Contohnya seperti kod ‘S662MH’, S merujuk kepada Spinning, iaitu jenis joran tersebut adalah khas untuk spinning reel, 66 merujuk kepada panjang joran iaitu panjang 6’6, 2 pula merujuk kepada seksyen iaitu joran tersebut terdiri daripada dua seksyen atau erti kata lain ‘patah dua’, dan akhir sekali MH merujuk kepada kekuatannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...