Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Tips menggunakan spinning reel

    Oleh Raz AS

    Spinning reel adalah jenis reel yang paling banyak digunakan oleh pemancing di serata dunia, tidak kiralah dalam kalangan pemancing baru mahupun lama.

    Ada yang menggunakannya untuk teknik memancing tertentu, ada juga yang menggunakannya sebagai kombo serba guna yang digunakan untuk apa-apa sahaja teknik yang dipakainya.

    Salah satu faktor kepopularan spinning reel berbanding reel yang lainnya, ia sangat mudah digunakan. Tidak memeningkan kepala seperti baitcaster ataupun conventional reel, yang mempunyai risiko tali kusut yang tinggi, bahkan mempunyai kekuatan yang jauh lebih tinggi berbanding spincast reel.

    Walau bagaimanapun, meskipun ia sangat mudah digunakan namun tidak bermakna ia adalah kalis kesilapan. Walaupun selalunya tidak ketara atau dianggap remeh namun akibat kesilapan-kesilapan ini ia boleh menyebabkan pemancing tewas dalam pertarungan.

    Pemilihan tali

    Pada masa kini tali sulam atau braided line lebih popular digunakan, namun bukanlah bermakna ia adalah tali yang terbaik yang mesti anda gunakan. Meskipun diameternya lebih kecil di mana anda boleh mengisikan tali yang lebih kuat dan lebih banyak ke dalam spool berbanding tali monofilament atau fluorocarbon, namun sepertimana kedua-dua tali tersebut ia juga mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri.

    Tali yang tidak tergulung dengan sempurna ke dalam spool boleh mengakibatkan masalah. – Agensi
    Biasakan menutup bail spinning reel dengan tangan sebelum gulungan dilakukan. – Agensi

    Walau bagaimanapun sekiranya anda memilih untuk mengisikan tali monofilament atau fluorocarbon, ke dalam spool spinning reel anda, anda perlu mengetahui bahawa sifat tali monofilament dan terutamanya fluorocarbon mempunyai memori berbanding tali braided yang mengakibatkannya mudah ‘saring’ atau berpintal-pintal, atau lebih teruk lagi menghembur keluar daripada spool ketika bail dibuka. Semakin tebal diameternya semakin kuat memorinya. Oleh itu sebolehnya pilih daripada tali kekuatan rendah atau jenis yang berdiameter kecil, terutama bagi spinning reel yang bersaiz kecil, agar ia lebih mudah diurus.

    Tahap kepenuhan tali dalam spool

    Pastikan spool diisi dengan tali pada tahap yang optima. Jika terlalu sedikit, jarak lontaran akan terpengaruh akibat geseran tali pada bahagian bibir spool, manakala sekiranya terlalu penuh pula boleh mengakibatkan tali menghambur keluar ketika melontar atau sebaik sahaja bail dibuka. Tahap optima kepenuhan tali pada spool adalah meninggalkan kira-kira 1/8 inci ruang dari bahagian bibir spool, walau bagaimanapun jika menggunakan tali yang lebih karau seperti fluorocarbon tinggalkan lebih banyak ruang daripada itu, contohnya kira-kira 1/6 inci.

    Tali tergulung rapi

    Kadang-kadang terjadi di mana kelihatan lingkaran tali menonjol keluar dari spool akibat mengulung ketika tali lanjut atau tidak kencang, jangan biarkan sahaja perkara tersebut, keluarkan tali dari spool dan betulkan semula. Lingkaran tali tersebut boleh mengganggu kelancaran tali keluar ketika lontaran atau ketika melawan ikan. Pastikan tali sentiasa tergulung rapi di dalam spool.

    Tutup bail dengan tangan

    Meskipun sesetengah spinning reel akan menutup bailnya secara automatik sebaik sahaja pemegangnya diputarkan, namun sebaiknya jangan jadikan ia sebagai tabiat. Tutuplah bail dengan tangan sebelum gulungan dilakukan. Kadang-kadang tali tidak akan masuk ke dalam spool dengan sempurna pada putaran yang pertama, menyebabkan tali tidak rapi dan menghasilkan lingkaran seperti yang diterangkan tadi.

    Tali sentiasa kencang

    Sebelum gulungan dilakukan pastikan tali dalam keadaan kencang dan tidak lanjut. Bergantung pada faktor-faktor seperti angin kuat, arus dan lain-lain, kadang-kadang tali keluar lebih banyak daripada yang diperlukan. Apabila bail tidak mendapat tekanan yang secukupnya ia akan menyebabkan tali masuk dengan tidak teratur dan membawa kepada masalah yang sama dengan tadi. Gunakan hujung jari untuk memberi sedikit tekanan atau geseran pada tali.

    Berhenti menggulung

    Apabila spool berputar sama ada kerana drag terlalu kendur atau dilarikan ikan, berhenti menggulung. Perkara utama yang perlu diingat oleh pengguna spinning reel adalah apabila mendengar bunyi drag, jangan digulung. Perbuatan menggulung tali tanpa mengendahkan drag boleh mengakibatkan tali rosak dan berpintal. Sama ada kencangkan drag atau tunggu drag berhenti berbunyi barulah tali digulung.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...