Tuesday, October 3, 2023
33.4 C
Brunei

    -

    Tips pilih tali perambut

    Oleh Raz AS

    Apabila disebut tentang pemilihan tali perambut perkara yang menjadi pertimbangan bagi setiap pemancing secara amnya adalah material atau jenisnya serta ketebalan dan kekuatannya.

    Dari segi material secara amnya terdapat tiga jenis tali perambut yang menjadi pilihan kebanyakan pemancing, iaitu jenis ‘monofilament’, ‘fluorocarbon’ dan juga perambut dawai.

    Tali perambut daripada jenis monofilament merupakan yang paling banyak digunakan oleh pemancing di seluruh dunia. Selain tali ‘monofilament’ yang digunakan sebagai tali utama, sesetengah pengilang tali pancing menghasilkan produk-produk tali ‘monofilament’ yang direka khas untuk digunakan sebagai perambut.

    Tali ‘monofilament’ khusus perambut ini direka untuk mempunyai kualiti lebih tahan geseran dan lebih lutsinar agar tidak kelihatan di dalam air berbanding jenis ‘monofilament’ yang digunakan untuk tali utama.

    Selain harganya yang murah, antara kelebihan tali ‘monofilament’ adalah sifatnya yang mempunyai renggangan seperti ‘spring’ menjadikannya pilihan terbaik digunakan sebagai ‘shock leader’ untuk menyerap sentapan kuat ketika membuat balingan jauh atau memburu ikan bersaiz besar.

    Dalam pemilihan tali perambut perkara yang menjadi pertimbangan bagi setiap pemancing secara amnya adalah material atau jenisnya serta ketebalan dan kekuatannya. – Agensi
    Sifat renggangan yang ada pada tali jenis ‘monofilament’ dapat menyerap sentapan ketika membuat balingan jauh atau melawan ikan besar. – Agensi

    Ramai pemancing percaya bahawa tali ‘monofilament’ timbul di air, tetapi hakikatnya ia cuma tenggelam lebih perlahan berbanding tali ‘fluorocarbon’, namun ini tetap menjadikannya pilihan terbaik untuk digunakan bersama ‘lure’ aksi permukaan.

    Berbanding tali ‘monofilament’ yang merupakan bahan nilon, tali ‘fluorocarbon’ pula merupakan polimer yang diperbuat daripada ‘fluorine’, hidrogen dan molekul karbon. Meskipun kelihatan sama seperti ‘monofilament’, akan tetapi ia mempunyai ketahanan geseran yang lebih kuat, kurang renggangan dan lebih tidak kelihatan di dalam air.

    Harga tali ‘fluorocarbon’ sedikit lebih mahal jika dibandingkan dengan tali ‘monofilament’, namun faktor harga bukanlah bermaksud si pemancing harus menggunakannya atau ia lebih baik berbanding tali ‘monofilament’.

    Akan tetapi, terdapat beberapa faktor di mana memilih tali ‘fluorocarbon’ sebagai perambut dapat memberikan sedikit kelebihan berbanding menggunakan tali ‘monofilament’, seperti memancing di kawasan perairan yang terlalu jernih atau memburu ikan-ikan yang cerewet.

    Sementara itu, disebabkan tali ‘fluorocarbon’ kurang renggangan berbanding tali ‘monofilament’, getuan halus ikan akan lebih mudah dikesan. Sifatnya yang lebih mudah tenggelam pula menjadikannya pilihan terbaik untuk ‘lure’ selaman dalam.

    Jika hal-hal sedemikian tidak diperlukan dalam pancingan awda, tidak perlulah berbelanja lebih.

    Perambut dawai pula digunakan untuk memburu ikan-ikan bergigi tajam. Meskipun hampir mustahil putus digigit atau ditarik akan tetapi ia akan mudah rosak sekiranya ia terlipat dan terputar berulang kali semasa melawan asakan ikan dan perlu digantikan dengan perambut baharu.

    Perambut dawai mudah kelihatan di dalam air menjadikannya tidak sesuai untuk pancingan ‘finesse’ atau pendekatan ‘stealth’, tetapi selalunya dalam berburu spesies bergigi tajam seperti spesies pelagik pendekatan ‘stealth’ tidak menjadi isu.

    Bagi aspek pemilihan ketebalan dan kekuatan tali perambut pula boleh dikatakan keduanya mempunyai faktor pertimbangan yang hampir berkait rapat.

    Kebiasaannya, pemancing menggunakan tali perambut sama ada yang lebih kuat atau lebih lemah berbanding kekuatan tali utama yang mereka gunakan. Ini berdasarkan faktor-faktor seperti spesies buruan, kawasan, teknik atau gaya pancingan masing-masing.

    Kebanyakan pemancing memilih untuk menggunakan tali perambut yang lebih kuat daripada tali utama mereka untuk mengelakkannya daripada putus digigit ikan atau tergeser dengan struktur tajam seperti batu, teritip dan lain-lain.

    Namun seperti yang dinyatakan di atas, mengenai faktor pertimbangan yang hampir berkait rapat, dalam hal ini apa yang penting sebenarnya bukanlah kekuatan tali perambut itu sendiri akan tetapi ketebalannya.

    Jika dulu ketebalan tali pancing mencerminkan kekuatannya, semakin tebal tali pancing itu semakin kuatlah ia.

    Sekarang idea ini sudah tidak dapat dipegang sepenuhnya kerana kebanyakan pengilang mengeluarkan produk-produk tali pancing atau tali perambut yang nipis tetapi mempunyai tahap kekuatan lebih tinggi daripada produk-produk seumpamanya yang dikeluarkan oleh mereka sendiri atau pengilang lain, meskipun ia daripada jenis tali yang sama.

    Seperti untuk tali jenis ‘fluorocarbon’ misalnya, tali jenama Awa-Shima 10 EX-STRONG Fluorocarbon datang dalam dua versi. Bagi versi ‘spool’ berwarna merah, talinya yang mempunyai kekuatan 20lb setebal 0.23 mm, tali kekuatan sama yang datang dalam versi ‘spool’ kuning pula 0.39 mm. Manakala, juga dari pengilang yang sama tetapi model produk yang berlainan, Awa-Shima FC Shock Leader Fluoro Carbon 100% 20lb, 0.35 mm.

    Perbezaan ini mungkin akan lebih ketara jika dibuat perbandingan antara satu jenama dengan jenama lain, lebih-lebih lagi antara jenis ‘monofilament’ dengan ‘fluorocarbon’. Oleh itu pemancing perlu melihat saiz tali yang tertera pada kotak bungkusan jika faktor ketebalan tali perambut menjadi pertimbangan mereka.

    Menggunakan tali perambut yang lebih kuat berbanding tali utama mempunyai keburukannya. Sekiranya mata kail tersangkut, berkemungkinan besar tali akan putus pada bahagian ikatan tali utama dengan perambut, dan anda akan kehilangan peralatan-peralatan terminal seperti batu ladung, kili-kili dan lain-lain lagi.

    Jika ikatan yang dibuat teguh, berkemungkinan pula tali utama putus di bahagian pangkal, natijahnya banyak tali yang terbuang dan tali dalam ‘reel’ lebih cepat berkurangan dan perlu diisi semula lebih kerap.

    Selain dapat menyelamatkan tali utama, tali perambut yang lebih lemah juga boleh menyelamatkan peralatan pancing awda daripada rosak ketika pertarungan dengan ikan besar. Sekiranya ‘drag’ ditetapkan terlalu kuat tali perambut akan terputus terlebih dahulu dan mengurangkan risiko joran patah.

    Ini bermakna jika memburu spesies bergigi kesat atau tajam, atau memancing di kawasan yang berstruktur tajam, di mana risiko tali putus adalah tinggi, memilih tali perambut yang lebih tebal daripada tali utama berbanding berdasarkan kekuatannya semata-mata adalah lebih baik diutamakan.

    Antara faktor yang perlu diambil perhatian dalam memilih tali perambut berdasarkan ketebalannya pula, selain daripada mengelakkan mudah putus, adalah pengaruhnya pada persembahan umpan. Tali yang nipis lebih susah dilihat oleh ikan dan tidak akan sekarau tali tebal, membolehkan umpan bergerak secara lebih natural di dalam air.

    Oleh itu sekiranya kawasan memancing tersebut jauh dari struktur tajam dan ikan yang diburu tidak bergigi kesat atau tajam, tali perambut nipis adalah pilihan yang lebih baik.

    Sekiranya pemancing menginginkan faedah perambut nipis untuk memburu spesies bergigi tajam, sambungkan perambut dawai kira-kira panjang kurang sejengkal untuk menyelamatkannya daripada terkena gigi ikan, seperti yang banyak diaplikasikan oleh pemancing-pemancing ikan pelagik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    24 termasuk 12 anak damit maut dalam 24 jam di hospital

    NEW DELHI, 3 OKT - Sekurang-kurangnya 24 pesakit, separuh daripadanya anak damit baru lahir telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas di sebuah...