Tipu: 680 warga China ditahan

PUTRAJAYA, 21 NOV – Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China serta menahan 680 warga China yang menjalankan operasi aktiviti berkenaan di Cyberjaya semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pasukan imigresen menggempur tingkat enam sebuah bangunan di Cyberjaya kira-kira 11 pagi semalam, dipercayai menjadi pusat panggilan aktiviti penipuan yang menyasarkan penduduk negara China sebagai mangsa.

Serbuan hasil intipan hampir dua bulan serta melibatkan 150 anggota imigresen itu turut membawa kepada rampasan 8,230 unit telefon bimbit, 174 komputer riba dan 787 unit komputer peribadi, katanya.

Khairul Dzaimee berkata beberapa anggota imigresen mengalami kecederaan ringan apabila suspek bertindak merempuh kepungan dan menyerang dalam percubaan melarikan diri.

“Kita anggarkan 100 hingga 120 orang berjaya melarikan diri, malah ada juga warga China yang ditahan mengalami calar dan luka-luka kecil berikutan tindakan tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China serta menahan 680 warga China yang menjalankan operasi aktiviti berkenaan di Cyberjaya semalam. – Bernama

Khairul Dzaimee berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas dengan menyewa di bangunan berkenaan pada kadar RM360,000 sebulan.

“Modus operandi sindiket adalah menawarkan mangsa keuntungan yang tinggi dan pantas yang mana suspek-suspek, yang bertindak selaku operator akan menghantar satu kod kepada pelanggan daripada laman sesawang tertentu yang aplikasinya adalah dalam Bahasa Cina,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata kesemua yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, namun hampir kesemuanya tidak dapat menunjukkan pasport dan dokumen pengenalan diri ketika ditahan dan sehingga kini juga tiada pihak yang tampil mengemukakan dokumen mereka.

Semua suspek yang melibatkan 603 lelaki dan 77 wanita itu kini direman selama 14 hari, katanya.

Mereka boleh disabitkan melakukan kesalahan melanggar syarat pas, masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah dan tinggal melebihi masa dibenarkan, katanya. – Bernama