Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Tipu: Anggota beruniform dipenjara 24 bulan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, telah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan terhadap seorang anggota beruniform yang juga diperintahkan untuk membayar ganti rugi $150 kepada mangsa yang ditipunya.

    Jika gagal membayarnya, defendan perlu menjalani hukuman penjara tambahan selama seminggu lagi.

    Defendan juga diperintahkan untuk menyelesaikan denda $400 kerana memandu kenderaannya dalam empat kejadian dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh, atau menjalani hukuman penjara tambahan selama empat minggu lagi jika gagal membayar.

    Lans Koperal 4555 Sahlan bin Haji Mat Sahat, 39, didapati bersalah atas dua pertuduhan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) dan satu lagi pertuduhan cuba menipu di bawah Seksyen 420 dibacakan dengan Seksyen 511 di bawah akta sama.

    Menurut kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza
    Pengiran Abdul Latiff, perbuatan defendan terungkai apabila seorang wanita warga asing membuat aduan kepada Biro Mencegah Rasuah (BMR) mengenai insiden yang berlaku pada pukul 6:45 petang pada 27 April 2015 di Jalan Kilanas.

    Mangsa berkata bahawa dia telah dihalang oleh defendan dan diberitahu bahawa batu telah terbang dari tayar kereta mangsa, memecahkan cermin kereta defendan. Defendan meminta mangsa membayar $400 untuk kerosakan.

    Defendan juga memberitahu mangsa bahawa dia seorang anggota polis.

    Selepas berunding, mangsa bersetuju untuk memberi defendan $50, yang ditekan oleh defendan bahawa ia bukan rasuah.

    Siasatan yang dijalankan oleh BMR seterusnya mendedahkan bahawa terdapat mangsa lain yang telah ditipu oleh defendan dengan modus operandi yang sama.

    Kesemua kesalahan itu berlaku pada tarikh, masa dan tempat yang berlainan di Jalan Belimbing, Jalan Batu Bersurat dan Jalan Kilanas antara April dan Mei 2015.

    Mangsa membabitkan seorang penduduk tetap, warga Malaysia dan warga Thailand.

    BMR juga mendedahkan bahawa defendan melakukan satu lagi kesalahan dengan memandu kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh ke atas semua insiden penipuan dan percubaan penipuan tersebut.

    Terdahulu pada Disember 2020, defendan menafikan pertuduhan menipu dan cubaan tersebut, manakala mengaku bersalah atas pertuduhan bagi kesalahan lalu lintas jalan raya.

    Pihak pendakwaan membawa lapan saksi bagi membuktikan kes itu.

    Dalam prosiding maya dengan defendan dalam tahanan BMR pada 20 Januari lepas, Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana Haji Abdul Rahman mendapati kes pendakwaan memuaskan tanpa keraguan munasabah dan tidak mempercayai pembelaan defendan, membawa kepada sabitan.

    Semasa menjatuhkan hukuman, mahkamah berkata defendan adalah anggota polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang namun dia melakukan kesalahan itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...