Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Akibat menipu sebuah syarikat sewa kereta, seorang lelaki menerima hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.
Hukuman dijatuhkan Pemangku Ketua Majistret, Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar terhadap Mohammad Zaim bin Lamit, 30, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.
Dalam kejadian pada 2 Julai 2018, tertuduh pergi ke syarikat itu untuk menyewa sebuah kereta Proton Iriz untuk satu hari.
Keesokan harinya, dia menghubungi syarikat itu untuk memaklumkan yang dia akan melanjutkan tempoh sewa kereta selama tujuh hari lagi dan akan membuat pembayaran sewa melalui dalam talian.
Pekerja syarikat meminta tertuduh untuk datang ke syarikat bagi menandatangani perjanjian baharu namun tertuduh gagal untuk menghadirkan diri.
Pekerja syarikat cuba menghubungi tertuduh dan turut pergi ke ‘tempat kerjanya’ namun tidak seorang pun di tempat kerjanya itu mengenali
tertuduh.
Pekerja syarikat kemudian pergi ke rumah tertuduh tetapi diberitahu keluarganya yang tertuduh telah lama tidak pulang.
Pekerja itu kemudian membuat laporan polis. Tertuduh berjaya diberkas polis dan siasatan mendapati tertuduh telah menjual kereta itu pada harga $660. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo.