Tisu tandas sasaran pembelian panik HK

HONG KONG, 6 FEB – Penduduk Hong Kong melakukan pembelian panik di pasar raya untuk mendapatkan tisu tandas, ketika kerajaan memberi amaran bahawa khabar angin dalam talian mengenai kekurangan bekalan, mengganggu usaha menentang wabak koronavirus.

Video diperoleh AFP menunjukkan pembeli beratur panjang bersama troli dipenuhi tisu tandas, dengan beberapa pertengkaran berlaku. Beras dan pasta turut menjadi sasaran pembeli panik.

Rakaman itu bersama gambar rak tisu tandas yang kosong, memaksa kerajaan menggesa rakyat menghentikan pembelian panik berkenaan.

“Sebagai maklum balas terhadap pelbagai khabar angin, baru-baru ini, mengenai kekurangan bekalan barangan seperti beras dan tisu tandas yang menyebabkan berlaku pembelian panik serta huru-hara, jurucakap kerajaan kesal dengan tindakan berniat jahat menyebarkan khabar angin itu ketika bandar ini berusaha melawan penyakit berkenaan, dan mengutuk penyebar khabar angin yang berniat jahat,” menurut kenyataan itu.

Walaupun Hong Kong menutup kebanyakan sempadan daratnya dengan tanah besar China di mana wabak koronavirus tercetus, perkhidmatan pengangkutan tidak terjejas, kata kerajaan.

“Bekalan makanan, termasuk beras dan pasta, adalah mencukupi. Orang ramai tidak perlu bimbang,” menurut kenyataan itu. – AFP

Seorang wanita memakai topeng muka melepasi rak-rak tisu tandas yang kosong di sebuah pasar raya di Hong Kong, 6 Feb. Pembelian panik berlaku di Hong Kong ketika khabar mengenai kekurangan barangan tersebar. –AP