Titian Travel & Tours dilantik kendali pakej haji

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Syarikat Titian Travel & Tours Sdn Bhd buat pertama kalinya telah diberi kebenaran untuk mengendalikan pakej haji dan umrah selama tiga tahun bermula 1443 Hijrah.

Kementerian Hal Ehwal Ugama, menerusi Jabatan Urusan Haji mengumumkan pelantikan syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ini menjadikan ia salah sebuah daripada tujuh syarikat yang diberikan kebenaran mengendalikan pakej haji dan umrah yang termasuklah Darussalam Holdings Sdn Bhd, Straits Central Agencies Sdn Bhd, Raudah Al-Amin Sdn Bhd, Continental Yachting Sdn Bhd, Dar El-Ehsan Travel & Tours Sdn Bhd, Al-Hijrah Travel & Tours Sdn Bhd.

Kebenaran ini adalah tertakluk kepada kebenaran keluar negara dan kebenaran mengerjakan ibadat haji dan umrah yang ditetapkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan ibadat haji dan umrah adalah dikehendaki untuk mengikuti pakej syarikat-syarikat yang disenaraikan berkenaan bagi memastikan urusan-urusan perjalanan haji dan umrah berjalan dengan lancar dan teratur.