Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sep – TJ FT menang besar 7-1 ke atas Pondok 12 dalam Kejohanan Bola Sepak Liga 2018-2019 anjuran Kelab Sukan Al-Idrus di Padang A, Kompleks Sukan Menglait petang tadi, dengan empat gol daripadanya disumbangkan oleh Haji Rudy bin Yahya.
Haji Rudy membuka tirai jaringan pada minit ke-13 tetapi Mohd Syafiq menyamakan kedudukan 14 minit kemudian menerusi tendangan leret kencang ke gawang TJ FT dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga masa rehat.
Keadaan menjadi berat sebelah pada separuh masa kedua perlawanan apabila TJ FT meledakkan jaringan demi jaringan sehingga mencecah empat gol dalam tempoh hanya tujuh minit, bermula dengan jaringan Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin pada minit ke-59.
Pengiran Haji Mohd Faizulkarnain bin Pengiran Haji Abu Bakar menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-61, disusuli dengan jaringan Haji Rudy seminit kemudian dan ledakan hatriknya pada minit ke-65 untuk segera memacu TJ FT jauh mendahului 5-1.
Abdul Nazim bin Haji Mohd Salleh memasukkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-85, sebelum Haji Rudy melengkapkan jaringan keempat peribadi dan ketujuh pasukannya pada minit ke-89 sekali gus memuktamadkan keputusan 7-1 memihak TJ FT.
Sementara perlawanan dalam kumpulan yang sama, Kumpulan H, yang berlangsung pada sebelah pagi tadi di Padang Kompleks Sukan Sungai Kebun, Al-Idrus FT turut mencatat kemenangan besar iaitu 8-1 ke atas ASMDB FT.
Manakala dalam satu-satunya perlawanan Kejohanan Bola Sepak Piala FA 2018-2019 yang mengambil tempat di Padang Kompleks Sukan Bengkurong, Terazza FC berjaya mengalahkan Mengellela Veteran FC dengan jaringan 4-2.