TLDB cuba capai sasaran

Oleh Hakim Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Ketika Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) berhasrat untuk mencapai sasaran menjadi pasukan yang boleh dipercayai, tiga arahan pembangunan telah dikongsikan oleh Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Haji Othman bin Haji Suhaili @ Suhaily semasa perarakan sempena Ulang Tahun TLDB ke-54, hari ini.

Tiga fokus utama arahan berkenaan, Laksamana Pertama Haji Othman berkata, adalah dalam peningkatan kesiapsiagaan armadanya; pembangunan kualiti dan kapasiti semua peringkat personel TLDB dan juga mengukuhkan integrasi dan prosedur bersama.

Dalam usaha untuk melindungi sekuriti maritim kebangsaan dan kestabilan serantau, beliau berkata, TLDB akan terus bekerjasama rapat dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan agensi-agensi kerajaan berkaitan lain menerusi pendekatan keseluruhan negara dan diplomasi pertahanan.

Tatkala TLDB mencapai usia 54 tahun penubuhan, beliau berkata, transformasi dalam peranan dan keupayaan adalah selaras dengan landskap yang semakin dinamik dan kompleks yang memerlukan mereka menyesuaikan dan membangun selaras dengan keperluan dan keadaan.

“Bagaimanapun, apa yang pasti peranan dan tanggungjawab TLDB adalah untuk memastikan kedaulatan dan keharmonian serta keselamatan perairan kita dikekalkan bagi membolehkan semua agenda pembangunan kebangsaan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” tambah beliau.

Perarakan yang diadakan di Padang Kawad TLDB, Pangkalan Tentera Laut Muara itu menyaksikan lebih 200 orang anggota TLDB berarak bagi memperingati sambutan berkenaan.

Majlis telah dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan oleh Pemerintah TLDB diikuti dengan perarakan gerak perlahan dan laju.

Majlis juga menyaksikan Laksamana Pertama Haji Othman menyampaikan anugerah kepada para pegawai dan anggota lain yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang dan komitmen kepada TLDB secara keseluruhannya.

Para pegawai TLDB ketika membacakan Doa Selamat pada acara penutup perarakan sempena Ulang Tahun TLDB ke-54, kelmarin.
Laksamana Pertama Haji Othman ketika menyampaikan anugerah kepada salah seorang pegawai.