Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    TLDB, JMSDF tingkat keupayaan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Dua buah kapal dari Japan Maritime Self Defence Force (JMSDF), JS Uraga dan JS Hirado, telah membuat persinggahan logistik ke Negara Brunei Darussalam pada 27 Disember lalu.

    Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, hari ini, menerusi lawatan itu, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan JMSDF telah menjalankan Passage Exercise (PASSEX) yang membabitkan tiga buah kapal iaitu, KDB Darul Ehsan, JS Uraga (Kelas-Uraga Minesweeper) dan JS Hirado (Kelas-Awaji Minesweeper vessel), semasa dalam perjalanan ke Pelabuhan Komersial Muara.

    Sebelum dan semasa latihan PASSEX, semua perancangan dan mesyuarat penyelarasan serta pelaksanaan telah dijalankan secara dalam talian.

    Latihan komunikasi dan latihan bergerak (manoeuvring) telah diatur awal untuk menyediakan peluang kepada semua pegawai dan anak kapal dari kedua-dua angkatan laut untuk saling melaksanakan latihan interoperabiliti semasa bertugas serta operasi bersama di laut.

    Acara itu kemudian diakhiri dengan farewell pass di mana kedua-dua angkatan laut mengambil bahagian dalam upacara piping the side dan berbaris di sisi kapal untuk mengucapkan selamat tinggal serta merakamkan penghargaan atas persahabatan yang baik antara kedua-dua tentera laut.

    Kapten Khairil semasa menerima kunjungan hormat secara dalam talian daripada delegasi JMSDF yang diketuai oleh Kapten Yasushi Noguchi.
    Anggota TLDB semasa membuat farewell pass dalam upacara piping the side dan berbaris di sisi kapal.

    Latihan PASSEX itu memberi peluang kepada semua anak kapal dan pegawai dari kedua-dua tentera laut untuk berlatih dan meningkatkan keupayaan mereka serta meningkatkan lagi interoperabiliti antara TLDB dan JMSDF tanpa melibatkan aktiviti fizikal termasuk eksesais tentera laut, latihan dan interaksi.

    Kedua-dua kapten berpuas hati dengan latihan berkenaan dan mengharapkan lebih ba-nyak peluang untuk mengeratkan hubungan tentera laut pada masa hadapan.

    Dalam lawatan logistik itu, Pemerintah Armada TLDB, Kapten Khairil bin Haji Abdul Rahman turut menerima kunjungan hormat secara dalam talian daripada delegasi JMSDF yang diketuai oleh Pemerintah Divisyen Minesweeper Satu JMSDF, Kapten Yasushi Noguchi bersama pegawai pemerintah kedua-dua kapal, Komander Koji Kondo dan Leftenan Komander Akira Ito.

    Manakala itu, wakil daripada Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun bagi Kerjasama Pertahanan ke Negara Brunei Darussalam, Leftenan Komander Sugimoto Kentaro, juga turut menghadiri kunjungan hormat itu.

    Tambah kenyataan itu lagi, TLDB kekal komited untuk mengukuhkan hubungan dengan JMSDF, meningkatkan tahap interoperabiliti dan peluang bagi pembangunan kapasiti ke arah matlamat kerjasama di laut.

    TLDB berharap perjalanan kapal-kapal JMSDF ke pelabuhan seterusnya berjalan lancar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...