TLDB tahan kapal nelayan asing

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah berjaya menahan sebuah kapal nelayan asing yang menangkap ikan di dalam perairan Negara Brunei Darussalam.

Kapal berkenaan berserta enam orang warga Vietnam telah diserahkan kepada Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) untuk siasatan lanjut.

Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kapal berkenaan telah menemui peralatan-peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan yang dipercayai dilakukan di kawasan perairan negara.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 17 (1) Perintah Perikanan, 2009, kapten kapal akan dikenakan denda tidak melebihi $100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Manakala itu, anak kapal akan dikenakan denda tidak melebihi $2,500 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Kapal nelayan asing warga Vietnam yang dirampas oleh Polis Marin manakala anak kapal turut ditahan. – Gambar serahan PDB