TLDB terima kunjungan Laksamana Pakistan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah menerima kunjungan daripada Ketua Turus Tentera Laut Pakistan, Laksamana Zafar Mahmood Abbasi NI (M) yang sedang mengadakan kunjungan pengenalan ke Negara Brunei Darussalam bermula 2 Februari lalu hingga esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, sejurus tiba di Markas TLDB, ketua turus Tentera Laut Pakistan menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Separuh yang terdiri daripada anggota TLDB.

Selepas pemeriksaan perbarisan, Laksamana Zafar Mahmood Abbasi NI (M) membuat kunjungan muhibah kepada Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman bin Haji Suhaili @ Suhaily.

Semasa kunjungan muhibah itu, pemerintah TLDB dan ketua turus Tentera Laut Pakistan mengesahkan kerjasama erat antara kedua-dua tentera laut dan membincangkan beberapa landasan untuk bekerjasama.

Lawatan di TLDB diikuti dengan lawatan ke Kapal KDB DARUSSALAM, Kapal Peronda Kelas DARUSSALAM.

Laksamana Zafar Mahmood Abbasi NI (M) juga berkesempatan untuk membuat kunjungan hormat kepada Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat dan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Haji Lampoh.

Bagi mengalu-alukan kedatangan Laksamana Zafar Mahmood Abbasi NI (M), majlis makan malam juga telah diadakan. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan berserta isteri.
Laksamana Zafar Mahmood Abbasi NI (M) telah dilantik menjadi ketua turus Tentera Laut Pakistan pada Oktober 2017.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah menerima kunjungan hormat daripada Laksamana Zafar Mahmood Abbasi NI (M).
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah dan Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman bergambar ramai dengan Laksamana Zafar Mahmood Abbasi NI (M) dan delegasi.