TLDM selamatkan 7 kru kapal kargo karam

SANDAKAN, 18 JAN – Tindakan pantas kapten sebuah kapal kargo yang sedang tenggelam menghubungi pihak berkuasa meminta pertolongan, berjaya menyelamatkan nyawa kesemua tujuh anak kapal itu dalam kejadian di perairan Terumbu Segama petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Bili Odong, 55, kapten kapal kargo Mermaid Challenger, berkata beliau bertindak menghubungi pihak berkuasa setelah menyedari kapal yang membawa muatan empat kontena tersebut dimasuki air.

“Setelah mendapat respons daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang memaklumkan bantuan akan sampai, saya kerahkan anak kapal menurunkan rakit keselamatan dan semua kru menaiki rakit itu.

“Ketika itu, kapal mulai tenggelam…saya tidak mahu mengambil risiko terhadap nyawa anak-anak kapal saya,” katanya ketika ditemui pemberita setiba di jeti Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) TLDM setelah diselamatkan oleh KD Sri Gaya, di sini hari ini.

Kru kapal itu Norhamri Abdul Satar, 61 berkata mereka memulakan pelayaran kira-kira 12 tengah malam semalam (17 Jan) dalam cuaca baik dari Sandakan menuju sempadan Malaysia-Filipina untuk menghantar kontena berkenaan ke sebuah kapal Filipina.

Bagaimanapun katanya kapal mulai dimasuki air dipercayai akibat satu kebocoran di bahagian depan kapal. – Bernama

Kru kapal Mermaid Challenger yang terselamat menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Tambatan Pangkalan Sandakan, Markas Wilayah Laut 2 selepas diselamatkan oleh kapal KD Sri Gaya, kelmarin. – Bernama