Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    TLDM tumpu Laut China Selatan

    KUALA LUMPUR, 20 Jan – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini memusatkan tumpuan kawalan keselamatan di Laut China Selatan susulan beberapa perkembangan di perairan itu.

    Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan berkata pada masa ini terdapat lima negara yang menempatkan aset ketenteraan mereka di perairan berkenaan bagi menjaga kepentingan masing-masing.

    “Armada TLDM yang kini dipecahkan kepada dua iaitu pemerintahan Armada Barat dan Armada Timur juga merupakan antara langkah yang bertujuan memberi tumpuan dan perhatian yang tinggi kepada keselamatan perairan ini sebagai menghadapi ancaman geopolitik,” katanya.

    Anuwi berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Asisten Ketua Staf Perancangan Pembangunan dan Asisten Ketua Staf Operasi dan Eksesais di sini hari ini.

    Katanya TLDM juga akan menambah aset mereka di perairan berkenaan dalam masa terdekat.

    Isnin lepas, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pemecahan pemerintahan armada itu dilaksanakan bagi memastikan tumpuan keselamatan lebih baik kerana selaku negara maritim, Malaysia mempunyai banyak sumber dan kepentingan negara seperti gas asli dan minyak yang perlu dijaga.

    Ahmad Kamarulzaman dilaporkan berkata sebelum ini pemerintahan TLDM berpusat di pangkalan TLDM Lumut di bawah Panglima Armada TLDM, dan hasil pemecahan itu pemerintahan Armada Barat kekal di Lumut manakala Armada Timur di Kota Kinabalu.

    Beberapa kawasan di Laut China Selatan terlibat dalam tuntutan bertindih beberapa negara termasuk Malaysia, Filipina dan China.

    Terdahulu, Anuwi menyaksikan serah terima tugas bagi jawatan Asisten Ketua Staf Perancangan Pembangunan antara Laksamana Madya Datuk Pahlawan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan Laksamana Pertama Shamsuddin Ludin.

    Shamsuddin menggantikan Syed Zahiruddin yang dilantik sebagai Panglima Armada Timur yang pertama.

    Majlis turut menyaksikan serah terima tugas bagi jawatan Asisten Ketua Staf Operasi dan Eksesais antara Laksamana Muda Datuk Fadzilah Mohd Salleh dan Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya.

    Khairul Anuar yang sebelum ini merupakan Panglima Wilayah Laut 2 menggantikan Fadzilah yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Hidrografi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda