TM digesa percepat pemasangan rangkaian Unifi di luar bandar

KOTA KINABALU, 3 MEI – Telekom Malaysia (TM) digesa percepatkan pemasangan rangkaian Unifi di kawasan pinggir dan luar bandar di Sabah untuk memudahkan pelajar meneruskan ‘pembelajaran dari rumah’ sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang membuat gesaan itu berkata kemudahan itu akan membolehkan pelajar terlibat secara aktif dalam pembelajaran secara dalam talian di rumah, serta untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi e-dagang di bawah ‘norma baharu’.

“Saya difahamkan TM telah diberikan projek ‘Universal Service Provider (USP)’ oleh kerajaan untuk memasang rangkaian gentian optik dan perkhidmatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Saya juga difahamkan bahawa Projek USP 2020 sekali lagi diberikan kepada TM awal tahun ini, Malangnya, sehingga kini tiada kerja telah dimulakan di bawah projek baharu yang diberikan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama